Nasional

Kesedaran kesihatan diri tinggi sejak pandemik – Raja Muda Perlis

Di saat Malaysia dan seluruh dunia ketika ini sedang sibuk berjuang melawan pandemik Covid-19, kita mungkin baru menyedari akan pentingnya kesihatan kepada diri kita dan juga mereka yang kita sayangi.

Menyentuh mengenai ‘Sambutan Hari Jantung Sedunia’ yang disambut pada 29 September 2021 tahun ini, didapati penyakit kardiovaskular (merujuk kepada sekumpulan penyakit berkait jantung) yakni kardio atau pembuluh darah iaitu vaskular kekal, menjadi pembunuh nombor satu di dunia yang mengakibatkan 18.6 juta kematian setahun.

Penyakit kardiovaskular juga merupakan penyebab utama kematian di Malaysia yang menyumbang sehingga 15.0% daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019.

Statistik menunjukkan bahawa 80% daripada kematian pramatang di bawah umur 70 tahun yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular ini sebenarnya boleh dicegah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyaksikan program ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Sempena 20 Tahun Penubuhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ secara atas talian yang dirasmikan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil anjuran Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada pagi tadi.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa antara faktor-faktor risiko utama yang dikaitkan dengan penyakit jantung di Malaysia adalah seperti tabiat merokok, tidak aktif secara fizikal, obesiti serta mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta tahap kolesterol yang tinggi.

Tambah Dr Sirajuddin lagi, ‘Hal ini agak membimbangkan berdasarkan data Kajian Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2019 terhadap rakyat Perlis dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas telah menunjukkan tren peningkatan yang ketara prevalens penyakit kencing manis iaitu sebanyak dua kali ganda daripada 16.9% (2015) kepada 32.7% (2019) yang mana seramai 3 daripada 10 orang iaitu 29.9% menghidap penyakit darah tinggi.

Manakala, seramai 1 daripada 2 orang iaitu 47.2% pula mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan seramai 3 daripada 5 orang iaitu 59.4% mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti’, jelas beliau.

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button