Nasional

Jangan terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat negeri Perlis supaya menyokong dan menjayakan Program Imunisasi Covid-19.

‘Jangan terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin. Sebarang masalah atau keraguan, rujuklah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis’.

‘Insha Allah, semoga segala ikhtiar dan usaha akan diberkati dan kita bertawakkal kepada Allah SWT yang Maha Esa supaya kita semua dilindungi daripada penyakit Covid-19 dan negeri Perlis akan kekal terpelihara’.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan pemasyhuran nama baharu Masjid Kg Perawah Tok Kayaman sebagai Masjid Ali bin Abi Talib. Watikah pemasyhuran berkenaan diserahkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hj Hazman Hassan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid tersebut, Mardzuki Mahmood.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda bersyukur vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di Malaysia dan negeri Perlis. Seterusnya, Program Imunisasi Covid-19 negeri Perlis akan bermula pada 1 Mac 2021.

Titah baginda lagi, ‘Ini merupakan satu langkah pencegahan melawan penularan Covif-19 yang tepat kerana suntikan vaksin Covid-19 akan memberi pelindungan kepada rakyat Perlis daripada jangkitan Covid-19. Walaubagaimanapun, langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam mesti diteruskan dengan mengamalkan norma baharu dan pematuhan kepada SOPs’.

Bersempena majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 25 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid itu melalui amilnya, Ali Ismail.

Untuk rekod, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button