Politik

Jangan Bazirkan Peluru Dalam Satu Khemah Yang Sama – Shahril Hamdan

Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan mengingatkan ahli pergerakan itu agar tidak dibuai dengan kejayaan demi kejayaan serta kemenangan yang dicapai tetapi sebaliknya sama-sama bermuhasabah.

Jelas beliau Allah SWT boleh menarik balik apa yang dikecapi itu dalam sekelip mata dan apa yang penting hari ini masing-masing jangan dibazirkan ‘peluru’ sesama sendiri di dalam ‘khemah’ yang sama sebaliknya perlu ditujukan kepada pihak lawan.

“Ingat dahulu… PH (Pakatan Harapan) dah menang tetapi jatuh sebab pergaduhan dalaman. Kita ni belum menang lagi sudah ada nak menjatuhkan sesama sendiri…bisik-bisik momokan orang, takutkan orang, dakwa-dakwi spekulasi, teori, akhirnya masing-masing nak bersuara pun kadang-kadang takut, pandang kanan-pandang kiri.

“Tidak masuk line itu, tidak masuk line ini… orang kata kita Maxis bimbang Celcom marah. Orang cop Celcom jaga-jaga Maxis terasa….hujung-hujung geleng kepala pakai u-mobile jelah… no coverage. Itulah keadaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021, di sini, petang tadi.

Beliau seterusnya menambah sikap sedemikian perlu dikikis kerana ianya tidak memberi apa-apa manfaat untuk kekuatan parti apatah lagi untuk mencapai kemenangan mutlak sepertimana harapan menggunung para perwakilan hari ini.

“Saya ingat jangan begitu dan itu bukan cara kita nak menang. Semua yang ada dalam parti kita ini yang belum lompat, selagi tidak khianat kepada parti ianya adalah aset parti. Yang ada jawatan… yang tidak ada jawatan, menteri, timbalan menteri yang tidak ada apa-apa semuanya aset parti.

“Presiden dan timbalan presiden ada peranan dan kekuatan cukup tinggi untuk mengemudi parti tanpa kompromi. Kita perlu ucap syabas kepada presiden apa sahaja tohmahan yang dilemparkan, percaturan beliau berjaya membawa kita ke saat ini.

“Tidak boleh kita nafikan… tetapi pada masa yang sama kita juga tahu menteri kita, perdana menteri kita ada peranan. Peranan mereka bagi saya paling utama menunjukkan kepada negara ‘preview’ apa yang boleh berlaku apabila UMNO yang menerajui kerajaan. Ianya menunjukkan kepada negara bibit pembinaan semula setelah kerosakan Pakatan Harapan dan longlainya dek Perikatan Nasional (PN) sebagai pembuka tirai kepada kemenangan mutlak yang dicari-cari ini. Ada jasa dan peranan mereka. Kita kena sama-sama raikan.

“Tetapi kadang-kadang ada dalam kalangan kita yang segan silu takut-takut sepertimana yang saya sebutkan tadi Celcom… Maxis… Celcom… Maxis… tetapi bagi saya kita hanya ada satu line…. Line UMNO parti keramat orang Melayu kita. Tugas kita sebagai pemimpin atas, baik dekat bahagian, baik dekat negeri, tugas kita bukan untuk membakar ahli kita untuk sangsi sesama sendiri,” ujarnya.

Shahril seterusnya mengingatkan, pembangkang boleh bersatu dalam sekelip mata malah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun wujudnya pertandingan sehingga lima atau enam penjuru, sasaran tetap dihalakan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Tugas kita sebaliknya membakar semangat ahli kita menyerang lawan. Lawan kita PH… lawan kita PN… Pejuang… Warisan dan banyak lagi. Di Johor kita boleh tengok mereka sepakat menyerang kita walaupun bertanding lima-enam penjuru. Semua serangannya ke arah BN dan UMNO. Pembangkang kita ini ada satu sifat… bergaduh tetapi apabila masuk pilihan raya sekejap sahaja mereka boleh bergabung.

“Jangan kita lupa mereka boleh bergabung atas semangat ‘ABU’ ‘Asal Bukan UMNO’ dan tidak mustahil pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15)… minta maaf boleh jadi dua penjuru. Jangan selesa. Jadi janganlah bazir ‘peluru’ sesama kita dalam khemah yang sama semata-mata takut bayang-bayang sendiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Kredit: Azman Abas, UMNO ONLINE

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button