Itali longgar sekatan pergerakan bermula 4 Mei
PERDANA Menteri Giuseppe Conte berkata Itali akan melonggarkan sekatan pergerakan di seluruh negara pada 4 Mei, membolehkan beberapa perniagaan utama disambung semula selepas tujuh minggu tidak beroperasi, lapor agensi berita Anadolu.
Dalam satu sidang media pada Ahad, Conte mengumumkan permulaan “fasa dua” wabak COVID-19, yang setakat ini meragut lebih 26,600 nyawa dan menjangkiti lebih 106,000 orang.
Conte memberi amaran, melonggarkan sekatan pergerakan bukan bermakna peraturan penjarakan sosial ditamatkan, ia masih perlu dilaksanakan untuk mengelak lonjakan baharu lengkung penularan.
Pergerakan rakyat masih terhad hanya untuk urusan penting seperti kesihatan, kecemasan dan bekerja.
“Jika anda sayangkan Itali, tolong jaga jarak sosial,” kata Conte.
Tambah beliau, taman awam akan dibuka semula dan yang ingin mengunjungi saudara-mara boleh melakukannya jika mereka tinggal dalam wilayah yang sama.
Conte menegaskan andai rakyat tidak mematuhi peraturan ditetapkan, ia boleh mencetuskan peningkatan lengkung penularan, mengundang risiko yang lebih bahaya dan sukar dikawal.
“Kematian akan meningkat dan ekonomi kita akan terjejas teruk dan sukar untuk kita pulihkan,” katanya.
Bermula 4 Mei, semua aktiviti di sektor pembuatan dan pembinaan dimulakan semula. Tetapi firma perlu memastikan semua protokol keselamatan yang baharu diperkenalkan dipenuhi sepenuhnya.
Majlis pengebumian juga dibenarkan, tetapi diadakan di tempat terbuka, kehadiran tidak melebihi 15 orang.
Conte berkata jika semua perancangan berjalan lancar, kedai runcit dapat dibuka kembali pada Mei, sementara restoran, kafe, coiffeurs dan kedai gunting rambut dibuka pada 1 Jun. Sekolah masih ditutup sehingga September. – BERNAMA