Helah langgar PKP: Beri alasan beli makanan empat kali sehari
KELUAR membeli makanan tetapi sehingga empat kali sehari adalah antara helah untuk langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata alasan yang digunakan itu nyata tidak jujur dan berniat untuk menipu.
“Ada bagi alasan beli makanan, tapi sampai empat kali sehari, sampai polis pun kenal muka mereka ini, nyata ia bukan alasan yang jujur,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kuasa khas menteri-menteri mengenai PKP, hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA
Beliau berkata, ada antara mereka yang diperiksa masih melepak di warung kopi dan lebih teruk melanggar sekatan PKP yang dijalankan.
PKP untuk membendung penularan COVID-19 masuk hari ke-11 semalam menyaksikan 649 individu ditahan, meningkat sekali ganda dari hari sebelumnya.
Dalam pada itu, katanya, masih terdapat premis perniagaan yang tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan penting dibuka ketika pelaksanaan PKP.
Beliau berkata, ketika PKP dilaksanakan ini, hanya premis berkaitan bekalan makanan dan kesihatan dibenarkan beroperasi.
“Sebanyak 3,223 premis telah diperiksa dan sebahagiannya (bukan perkhidmatan penting) telah diarah tutup”, katanya.
Sementara itu, prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat dijangka diumum esok.
Sementara itu Ismail Sabri memberitahu, Bilangan individu yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tinggi dan sehingga semalam, sejumlah 649 individu telah ditahan.
Beliau berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding Jumaat lepas yang menyaksikan 320 orang ditahan.
“Daripada 649 individu itu, seramai 73 orang telahpun dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah namun didapati masih ramai yang ingkar.
“Polis telah diberi kebenaran untuk mengambil tindakan tegas, antara yang akan dilakukan segera ialah kompaun selain tindakan membawa mereka ke mahkamah,” katanya.
Ismail Sabri berkata sebanyak 997 sekatan jalan raya diadakan semalam yang menyaksikan 310,938 kenderaan telah diperiksa berbanding lebih 200,000 pada hari sebelumnya.
“Angka itu menunjukkan masih banyak kenderaan berada di jalan raya, sebab itulah pemeriksaannya sekali ganda lebih banyak daripada hari sebelumnya,” kata beliau.
Mereka yang ingkar itu katanya memberi pelbagai alasan yang tidak logik sebagai helah langgar PKP. — BERNAMA