Diari AG

Tak sanggup ambil risiko babitkan Coronavirus

HARI ini AG tak berapa aktif cari penumpang. Bukan apa, sejak menularnya berita Coronavirus, AG rasa tak seronok. Memang la penumpang tu sumber rezeki, tapi kesihatan kena diutamakan.

Selalunya kalau hantar penumpang ke KLIA, AG gagah juga menunggu untuk dapatkan tempahan semula. Tambang di KLIA memang selalu tinggi dan tidak mengecewakan. Berbaloi la kata orang.

Tapi tadi, AG rasa tak bersemangat. Lepas hantar penumpang, terus balik. Tak kisah kereta kosong. Bagi AG duit boleh dicari, kalau tak sihat, apa pun tak boleh, diri sendiri yang tanggung akibatnya.

Berita-berita penularan wabak Coronavirus memang menghantui AG. Kawan-kawan AG pun ada yang ambil tindakan sama, tapi masih ramai sanggup tanggung risiko – demi sesuap nasi!

Tak kisah la. Itu pilihan masing-masing. Yang penting mereka sentiasa berjaga-jaga. Paling mudah, gunakan penutup muka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam perjalanan pulang, AG terdengar berita beberapa orang telah disiasat kerana menyebarkan maklumat kurang tepat tentang Coronavirus ini. Katanya, pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat Malaysia (SKMM) masih giat mengesan individu-individu terbabit lain.

Bagi AG, asas kepada maklumat itu mungkin benar cuma cara penyebarannya boleh menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat.

Ada penumpang AG beritahu, dia mendapat gambaran tentang virus ini melalui sumber-sumber berita luar negara. Dia hairan mengapa kerajaan masih membenarkan pelancong dari China bebas masuk ke Malaysia sedangkan negara-negara lain membuat kawalan ketat.

“Ini bukan isu rasis, ini isu kesihatan, soal nyawa. Takkan nak tunggu ada kes kematian baru nak bertindak,” katanya dalam nada cukup serius.

Takut pula AG nak menyampuk. Mujur perjalanannya tak jauh. Tapi bila difikir-fikirkan semula, betul juga apa yang penumpang AG tu kata – soal keselamatan rakyat perlu diutamakan.

Jangan la sampai hanya kerana nak jaga hati pelancong, kita bertolak-ansur dalam isu ini. Ada banyak lagi cara kita boleh meraikan pelancong.

Di sebalik kisah ini, AG sedikit lega apabila kerajaan setuju gantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya, susulan apa yang berlaku.

Penggantungan itu membabitkan semua kemudahan imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual.

AG yakin sekiranya kita mampu memberi penjelasan munasabah, tiada siapa akan mengatakan tindakan menghalang kemasukan pelancong dari negara sedang berlaku penularan wabak berbahaya itu salah.

Lagi pun, satu dunia dah tahu tentang wabak Coronavirus!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button