Uncategorized

Pemandu mabuk: Kementerian Pengangkutan mahu kaji sampai bila?

KEMALANGAN maut melibatkan kenderaan yang dipandu oleh golongan pemabuk semakin membimbangkan di negara ini.

Justeru Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menggesa Kementerian Pengangkutan tidak lagi berlenggah dalam mengetatkan peraturan jalan raya ke atas golongan pemabuk yang memandu kenderaan sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pengangkutan tidak sepatutnya hanya memberi alasan mahu mengkaji peraturan setiap kali berlaku kehilangan nyawa akibat kelalaian pemandu mabuk.

“Semalam dan empat hari lepas di Klang. Lima hari sebelumnya di Ipoh. November lepas di KESAS. Seolah-olah tiada langsung rasa takut dan bersalah bagi segelintir pemandu.

“Saya gesa pihak berwajib terutama MOT tidak lagi berlengah. Takkan setiap kali berlaku insiden begini, responnya cuma akan kaji? Nak kaji sampai bila?” tanya Hishammuddin.

Hishammuddin berkata, beliau setuju dengan pandangan Polis Diraja Malaysia kelmarin bahawa hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, mungkin sudah tiba masanya peraturan kadar alkohol dalam badan ketika memandu diperketatkan.

Hishammuddin berkata, keadilan terhadap mangsa dan keluarga mangsa pemandu mabuk perlu dipertimbangkan dalam memberi hukuman yang berat ke atas pemandu mabuk.

“Kalau ikut Laporan Keselamatan Jalanraya 2018 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia bukan negara yang mempunyai ‘good drinking driving laws‘. Ini mesti diambil perhatian.

“Gesaan saya ini bukan sengaja hendak cari ruang hukum pesalah.  Tetapi ini soal keadilan, khususnya kepada mangsa apatah lagi yang kehilangan nyawa. Dan ini juga soal kesedaran serta keselamatan. Harap Kerajaan PH tidak ambil mudah isu ini!” kata Hishammuddin.

Sabtu lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook  berkata, kementerian akan membincangkan proses untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan melibatkan pemandu mabuk.

BACA ARTIKEL: Pemandu mabuk: Kementerian Pengangkutan bincang kaji semula peruntukan sedia ada

Menurut Anthony perbincangan tersebut akan dilakukan dalam mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan minggu ini.

Anthony berkata, kementerian memandang serius terhadap kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dengan insiden terbaharu melibatkan seorang juruteknik sebuah kilang, Muhammad Zulfakkar Borhan terbunuh manakala dua lagi rakannya cedera.

Insiden membabitkan Muhammad Zulfakkar dan rakannya tular di media sosial selepas pemandu mabuk terbabit dipijak dan dibelasah orang awam di lokasi kemalangan.

Beberapa insiden pemandu mabuk dibelasah turut tular di media sosial sekaligus mengambarkan masyarakat tidak lagi dapat bertolerasi terhadap golongan pemandu mabuk.

Kejadian kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk semakin meningkat di Malaysia. Sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018 manakala sebanyak 212 kes pada 2017.-SM

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button