Hanya satu kabilah dalam UMNO Malaysia
EPISOD gelombang politik yang dirujuk kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah satu hentaman kuat kepada UMNO.
Merasai keperitan hilang keyakinan rakyat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan segelintir yang menjadi jaguh lompat jauh tidak dapat diterima.
Ekoran daripada tindakan jaguh lompat jauh ini, UMNO diperlekehkan, dicerca, dihina seolah-olah parti ini tak pernah berjasa kepada mereka dan negara, katanya.
“Mereka yang mencerca lupa. Seolah-olah kacang lupakan kulit, habis madu sepah dibuang. Kita yang berada atas pentas atau di bawah, jawatan dan di puncak kuasa adalah dari UMNO, Barisan Nasional (BN). Ada kuasa, lupa diri,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden UMNO di hadapan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti, wakil MCA dan MIC serta para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di World Trade Centre, Kuala Lumpur, hari ini.
PAU2021 ialah PAU yang ditunda. Sepatutnya ia diadakan pada tahun lepas tetapi terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19 yang melanda.
Ahmad Zahid berkata, perancangan Allah memang cantik dan sebaik-baik perancang apabila kerajaan pusat bertukar pimpinan dan kejayaan UMNO memimpin semula, kena diteruskan.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mantapkan kerajaan, kita mantapkan parti. Jangan ada puak-puak, kita mesti bersatu. Tak ada kabilah-kabilah dalam UMNO, hanya satu kabilah UMNO Malaysia.
“Saya pernah kata, disebut oleh Setiausaha Agung UMNO 2018, satu ketika sebelum PRU15, UMNO akan menerajui kerajaan.
“Dikatakan pada ketika itu, Presiden UMNO mimpi di siang hari. Realitinya, Datuk Seri Ismail Sabri pemimpin dalam kerajaan kita.
“Manusia merancang, Allah perancang terbaik. Allah makbulkan doa ikhlas kita semua,” ujarnya. – SM