Hanez Suraya cuak kena tahan polis, siap telefon suami
SUKAN berbasikal kini sememangnya mendapat perhatian ramai orang hingga menjadi isu nasional apabila melibatkan keselematan mereka.
Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang, dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sebelum ini memaklumkan mereka yang mengingkari larangan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Penyanyi yang giat dengan sukan berbasikal, Hanez Suraya berada dalam keadaan cuak selepas dia ditahan ketika sedang berkayuh bersama rakan-rakan di tepi jalan raya.
Namun, tindakan polis tersebut bukanlah kerana mereka melanggar tindakan undang-undang, sebaliknya hanya mahu mengabil swafoto bersama.
“Ingatkan nak tahan kami sebab kesalahan berbasikal atau kesalahan lain, rupa-rupanya hanya ingin mengambil swafoto.
“Polis siap memberi pesan supaya berhati-hati dan katanya, kalau basikal calar tidak mengapa. Tetapi kalau muka calar macam mana,” katanya yang menghargai sikap prihatin anggota keselamatan itu.
Menurut Hanez, dia pada mulanya memang begitu panik ketika ditahan polis hingga menghubungi suaminya untuk mendapatkan bantuan.
Hanez ketika ini memang giat dengan aktiviti berbasikal selain beberapa lagi artis lain seperti Zizan Razak yang aktif dengan sukan tersebut. -SM