Nasionalpilihan

Helikopter AW139 Maritim Malaysia berjaya dibawa naik

HELIKOPTER AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang telah melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa pagi kelmarin telah berjaya dibawa naik dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara Agensi ini kira-kira pukul 12.15 tengah malam Selasa.

Pesawat berkenaan kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Untuk rekod, helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang telah diterima daripada pihak Kerajaan pada tahun 2010.

Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

Selain itu, pesawat berkenaan banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah pesawat berkenaan telah berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022, 3 batu nautika daripada lokasi insiden.

AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu.

Selain kejayaan tersebut, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

Sementara itu empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat. Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi semalam.

Maritim Malaysia turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian kelmarin. – SM

Artikel berkaitan > Kru pesawat AW139 lakukan pendaratan cemas, dilaporkan selamat

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button