Ekonomi

Fenomena jenama RR, Rizman Ruzaini terus ‘mendunia’

HAMPIR 18 tahun mengemudi industri fesyen di negara ini, ternyata jenama Rizman Ruzaini tidak lagi asing dalam kalangan penggemar fesyen. Malah sehingga kini, bukan sahaja pakaian tetapi juga perniagaan yang dipelopori dua insan berbakat Rizman dan Ruzaini ini juga semakin lengkap dengan produk penampilan lain termasuk aksesori dan haruman.

Melihat potensi perniagaan ini untuk terus berkembang sekali gus bersaing dengan jenama fesyen antarabangsa, ketika ini pembaharuan demi pembaharuan dilakukan demi memastikan empayar perniagaan ini kekal relevan.

Selain membahagikan perniagaan ini dalam segmen berbeza untuk memastikan jenama ini mampu dinikmati setiap golongan, terbaharu, Rizman turut mengumumkan pembukaan Butik RR FlagShip Store yang pertama di Four Seasons Place, Kuala Lumpur.

Mengakui perniagaan yang dijalankan secara dalam talian lebih efisien, namun jelas Rizman dengan pembukaan Butik RR FlagShip Store peminat jenama RR akan mendapat kepuasan maksimum ketika membeli belah.


“Jika dahulu RR hanya ditawarkan dalam talian, tetapi dengan pembukaan butik RR FlagShip Store pelanggan akan dapat pengalaman berbeza. Kali ini mereka boleh melihat atau merasai sendiri kualiti produk kami sebelum membeli.

“Kita tahu ada yang selesa berurusan dalam talian, tetapi kami tidak boleh meminggirkan pelanggan yang mahu menikmati suasana membeli belah di butik. Jadi di Butik RR FlagShip Store kami akan sediakan barangan yang sama cuma dengan pendekatan jualan yang berbeza.

“Di sini pelanggan boleh mencuba dahulu sebelum buat keputusan, dengan keluasan 2300 kaki persegi butik ini cukup selesa untuk dikunjungi. Paling penting lokasi Butik RR FlagShip Store juga cukup sinonim dengan rakyat Malaysia, bersebelahan KLCC sahaja, jadi saya yakin lokasi ini sangat strategik dalam mengambil kira kemudahan untuk akses,” kata Rizman.

Tidak menyangka jenama RR kini menjadi fenomena dunia fesyen negara, tambah Rizman walaupun produk di bawah jenama ini hampir semuanya berada dalam kategori ‘ready to wear’ (RTW) namun pihaknya tidak pernah berkompromi soal kualiti yang menjadi nadi utama perniagaan Rizman Ruzaini sejak dahulu lagi.

“Menjadi impian saya untuk melihat jenama kami dimiliki semua golongan. Sesiapa sahaja mampu mengayakan RR, dengan kata lain kami mahu memasarkan produk kami secara besar-besaran.

“Lain pula dengan jenama asal Rizman Ruzaini yang hanya memberi fokus kepada pakaian yang lebih eksklusif antaranya pakaian pengantin dan kepada golongan yang lebih teliti dengan fabrik dan rekaan. Sebab itu dalam perniagaan perlu ada strategi dan dalam Rizman Ruzaini sendiri kami membahagikan produk kami untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Oleh disebabkan itu, pengkhususan dua jenama ini akan nampak lebih jelas dan teratur bila mana Rizman Ruzaini akan terus diterajui pereka Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil berada pada taraf lebib ekslusif manakala RR akan dikelola Yana Baharudin akan tersedia untuk pasaran mass,” katanya.

Yakin dengan kemampuan Pengarah Kreatif segmen perniagaan RR, Yana Baharudin jelas Rizman juga pemilihan ikon fesyen ini dalam membantu perniagaan mereka sebagai tepat pada waktunya.

“Perkembangan perniagaan kami terlalu cepat jadi untuk memastikan kami tidak ketinggalan Yana dilihat sebagai individu yang tepat dalam membuat keputusan untuk jenama RR. Bagi saya dan Ruzaini pula kami akan memberi fokus kepada rekaan produk RR selain segmen berbeza dalam perniagaan kami.

“Kita tahu semua produk RR termasuk pakaian, tudung dan aksesori terkenal melalui kualiti dan harga mampu milik. Jadi kami tidak mahu campur adukkan segmen perniagaan sedia ada, tentunya pelantikan Yana akan memberi sumbangan yang besar kepada perniagaan ini,” jelasnya.

RR RTW Fall Winter 2022

Sementara itu dalam majlis yang sama, Rizman turut mengumumkan perlancaran koleksi RR RTW Musim Luruh/Sejuk 2022. Membawa inspirasi wanita yang suka mengembara koleksi kali ini juga turut memberi perhatian kepada rekaan ringkas dan selain penggunaan warna hitam dan putih sebagai warna asas.

“Menggunakan bentuk silhouette yang ringkas yang berkonsepkan ‘clean cut looks’ rekaan RR untuk koleksi ini juga menggunakan fabrik moden untuk menjadikannya lebih menyerlah.

“Lebih istimewa koleksi kali ini juga turut memperkenalkan bag bermaterial tweed. Hadir dalam tiga warna utama, hitam, kelabu dan pink setiap bag ini juga turut didatangkan dengan tiga  skarf yang akan menjadi pelengkap kepada penampilan si pemakai,”katanya.

Dalam perkembangan lain sempena pembukaan Butik RR FlagShip Store ini, RR kini juga turut menawarkan potongan harga besar-besaran dalam menghargai pelanggan setia mereka. – SM

Aartikel berkaitan > Rizman Ruzaini gegar Bukit Bintang

(Visited 139 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button