2 ADUN PKR keluar parti, 3 Bersatu antara 10 exco baru Kedah
DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang keluar parti antara 10 jemaah exco baru yang dilantik oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini .
Adun Sidam, Robert Ling yang kini wakil rakyat bebas akan menggalas portfolio perumahan; alam sekitar; perpaduan; dan hal ehwal masyarakat Cina dan Siam.
Seorang lagi wakil rakyat Bebas, Adun Lunas, Azman Nasrudin akan menggalas portfolio pertanian dan industri makanan; perusahaan perladangan dan komoditi; pengangkutan; dan hal ehwal masyarakat India.
Tiga ADUN dari Bersatu yang beralih sokongan dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional turut dipilih sebagai exco.
Halimaton Shaadiah Saad (ADUN Bersatu Bukit Kayu Hitam) menggalas portfolio pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat; dan kebajikan.
Mohd Firdaus Ahmad (ADUN Bersatu Kuah) dilantik ke belia dan sukan; pelancongan, seni dan budaya; dan pembangunan usahawan dan koperasi.
Ku Abd Rahman Ku Ismail (ADUN Bersatu Guar Chempedak) menggalas portfolio industri dan pelaburan; sains, teknologi, dan inovasi; dan pengajian tinggi. Selain mereka 4 exco daripada PAS dan 1 Umno.
Muhammad Sanusi Md. Nor akan mempengerusikan perancang negeri; hal ehwal tanah; hasil bumi dan sumber asli; kewangan; Majlis Ekonomi Kedah; dan jawatankuasa syarikat berkaitan kerajaan.-SM