Doakan keselamatan tentera kita di Lubnan, kenderaan APC tak ikut spec PBB
KEMENTERIAN Pertahanan telah menerima sembilan kenderaan pengangkut berperisai (APC) dan telah dihantar ke Lubnan untuk tugasan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malangnya kenderaan APC itu tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh PBB.
Disebabkan kenderaan itu sudah dibawa ke Lubnan untuk kegunaan pasukan Malbatt di sana apa yang boleh dilakukan ia mendoakan supaya anggota tentera kita yang menggunakan kenderaan tersebut di lapangan selamat.
Memetik laporan BH Online, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan daripada sembilan yang diterima, ada antara kenderaan berkenaan sudah dihantar ke Lubnan bagi operasi di Lubnan.
“MINDEF membeli kenderaan APC itu dengan spesifikasi yang tinggi, namun yang diterima adalah tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Contohnya, anggota tentera boleh menembak dari dalam kenderaan APC, namun APC yang tidak mengikut spesifikasi itu memaksa anggota tentera mengeluarkan kepala mereka dari kenderaan bagi melepaskan tembakan.
“Kenderaan itu juga ada sudah dibawa ke Lubnan untuk operasi. Kita hanya boleh mendoakan keselamatan mereka di sana,” katanya dalam sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019, Siri 1 di Putrajaya hari ini. – SM