Negeri

Degil masih guna bekas makanan, minuman polisterina, plastik dan straw

PBT Johor keluarkan 5,601 notis terhadap pemilik premis

INGKAR dan tidak mematuhi larangan menggunakan bekas makanan dan minuman polisterina, plastik dan straw, 5,601 notis dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pemilik premis perniagaan  di Johor.

Notis itu dikeluarkan kepada pemilik premis dalam kawasan PBT Johor sejak Julai kerana masing-masing didapati tidak mematuhi larangan menggunakan bekas makanan dan minuman polisterina, plastik dan straw.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, sebanyak 2,780 daripada notis itu dikeluarkan pada Julai, 1,432 notis (Ogos), 1,346 notis (September) dan 43 notis (Oktober).

Katanya, ia susulan pemeriksaan ke atas 36,044 premis di seluruh Johor merangkumi restoran, pasar malam, pasar awam PBT atau swasta, bazar atau gerai juadah, trak makanan, penjaja PBT atau swasta, kantin sekolah dan kedai runcit atau kedai serbaneka.

Sepanjang tempoh Julai sehingga Oktober tahun ini, 36,044 premis telah diperiksa dan 5,601 notis telah dikeluarkan namun tiada kompaun atau sitaan dikenakan, katanya.

“Selain itu, menerusi tinjauan terhadap premis makanan didapati terdapat pengurangan notis dikeluarkan kepada peniaga sekali gus memperlihatkan peningkatan pematuhan premis makanan terhadap larangan yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) yang ingin tahu apakah status terkini atau inisiatif tentang pelaksanaan dasar mengharamkan penggunaan bekas makanan dan minuman polisterina di semua premis perniagaan yang dimulakan sejak Julai.

Ayub memberitahu, larangan menggunakan bekas polisterina, plastik dan straw dilancarkan kerajaan negeri pada Disember 2019 setelah mengambil kira kesan keburukannya terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Namun begitu, pelaksanaannya hanya bermula pada 1 Julai tahun ini selepas memberi tempoh enam bulan untuk pendidikan kepada masyarakat. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button