Rencah Hidup

Kak Cik Yah jadi pempengaruh pada usia 74 tahun

RAMAI yang teragak-agak untuk menceburi bidang penstriman atau menjadi pempengaruh, apatah pada usia yang lanjut.

Namun bagi Nariah Ahmad, 74, daripada aktiviti suka-suka mengisi masa lapang, kini beliau sudah mempunyai pengikut hampir 200,000 di TikTok.

Kemuncaknya apabila Pak Mat Western jenama terkenal menjual kambing perap menggunakan beliau untuk mempromosi produk berkenaan.

Perwatakan yang bersahaja ketika membuat siaran langsung memasak di aplikasi TikTok menjadikan Nariah atau lebih dikenali sebagai Kak Chik Yah semakin diminati oleh warganet.

Mempunyai 188,300 pengikut di akaun @kakcikyah4, warga emas itu sering berkongsi resepi masakan daripada awal sehingga akhir dengan cara percakapan seperti seorang nenek bercakap dengan cucunya.

Nariah yang ditemui di kediamannya di Flat Kampung Melayu berkata, dia mula membuat siaran langsung pada pertengahan tahun lalu dengan resepi pertamanya Kerabu Mangga Thailand.

Dikenali dengan tagline ‘mola-mola’, minat mengambil gambar dan video telah mendorongnya untuk membuat siaran langsung di media sosial tanpa menyangka ia akan tular seperti yang berlaku ketika ini.

“Makcik memang suka bergambar dan ambil video kawan-kawan sejak kerja kilang dulu lagi. Jadi makcik seronok lah nak buat ‘live’ sebab minat. Jadi makcik buat lah (live).

“Seingat makcik, video pertama masakan makcik ditonton oleh lebih sejuta pengguna TikTok. Makcik pun tak sangka tapi alhamdulillah lah sebab orang suka tengok makcik masak,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menambah, semua resepi yang dikongsi adalah ciptaannya sendiri selain ia resepi turun temurun.

“Makcik memang suka masak dan sebelum ini pun, memang dok buat karipap dan acar limau untuk dijual. Sampai orang panggil makcik, Makcik Karipap. Tetapi karipap tak buat dah, makcik buat acar limau saja.

“Kek pun makcik boleh buat tetapi itu dulu lah. Alhamdulillah masih ada pelanggan yang menempah dan makcik juga letak (acar limau) di kedai-kedai,” katanya.

Bercerita lanjut, anak jati Mata Air, Perlis itu berkata, semua persiapan untuk membuat siaran langsung dibuat sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Semua makcik buat sendiri. Sedia bahan masak, sedia tempat, semua sendiri. Dulu guna tripod tetapi tak kuat, ‘handphone’ asyik terjatuh saja.

“Sekarang ni, kadang-kadang pegang (telefon bimbit) sebelah tangan, kadang-kadang letak di rak di tepi dapur. Akaun TikTok pun makcik buat sendiri malah makcik sendiri yang membalas komen-komen netizen.

“Makcik seronok apabila ramai yang bagi komen yang baik-baik. Ada juga yang lucu, depa panggil makcik ‘comey'” ujarnya.

Nenek kepada tujuh orang cucu itu berkata, keempat-empat anaknya sangat memberi galakkan kepadanya untuk terus aktif di media sosial.

“Anak-anak semua duduk sendiri, jadi makcik di rumah ni, sorang-sorang. Jadi makcik buat lah ‘live’, kongsi dengan rakan-rakan media sosial. Anak-anak pun sokong, depa suka makcik ada aktiviti sendiri.

“Kini saya hanya menumpukan buat video dan siaran langsung di TikTok sahaja, syukur ada pihak yang sudah menyunting makcik untuk membuat ulasan produk mereka.

“Saya anggap ini adalah rezeki ALLAH pada Ramadan kali ini kerana saya sudah buat banyak kerja sebelum ini. Makcik dulu kerja kilang daripada umur 36 hingga 50 tahun,” katanya.

Dia menambah, dia bersyukur kerana dikurniakan rezeki yang melimpah ruah ketika di usia emas ini.

“Selagi makcik larat, makcik akan terus buat siaran langsung dan video selain menerima tawaran daripada mana-mana pihak, mengikut kesesuaian. Syukur makcik tidak mengidapi sebarang penyakit serius.

“‘Makcik masih boleh pergi kedai sendiri. Tiada rahsia untuk sihat melainkan sentiasa aktif seperti berjalan 1,000 langkah sehari dan menjaga pemakanan,” katanya.

Ditanya impiannya dalam dunia maya, Nariah berkata, dia mengimpikan untuk membuat siaran langsung masakan bersama pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau Chef Wan.

“Kalau ‘orang lama’, makcik minat Chef Wan tapi untuk ‘orang baru’ saya minat Khairul Aming. Kalau boleh, teringin juga nak ‘live’ dengan depa,” katanya.

Nariah juga menitipkan nasihat dan pesanan kepada mereka yang seusia dengannya agar terus aktif dan menjadikan media sosial sebagai aktiviti mengisi masa lapang.

“Jangan takut untuk mencuba sesuatu. Buat perkara yang berfaedah.

“Apabila kita ada aktiviti, kita tidak akan bosan dan sekurang-kurangnya boleh mencergaskan badan dan minda,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button