COVID-19: Tukang songkok jahit baju PPE bantu ‘frontliner’
WALAUPUN sudah pencen sebagai tukang songkok 15 tahun lalu namun ia tidak menghalang seorang peniaga menyumbang kemahirannya menjahit baju PPE bagi kegunaan frontliner membendung wabak COVID-19 di sekitar Kuala Langat.
Haji Zainal Ali, 60-an, yang mempunyai pengalaman menjahit songkok selama 25 tahun dan pernah mempunyai sebuah kedai jahit di Banting, berasa bersyukur kerana dapat memanfatkan kemahirannya itu untuk melawan wabak.
“Berbekalkan kemahiran ini saya terpanggil untuk membantu bila diuar-uarkan dalam grup Whatsapp dan Facebook pihak berwajib mencari sukarelawan.
“Saya rasa bersyukur kerana dapat menyumbangkan kemahiran saya ini untuk bersama-sama membantu usaha kakitangan hospital melawan wabak COVID-19,” katanya yang juga Timbalan Nazir Masjid At-Taqwa Pekan Banting baru-baru ini.
BACAMenurutnya, beliau dapat menyiapkan sebanyak 10 helai jubah PPE dan 20 helai tudung setiap hari sejak 2 April lalu di rumahnya di Taman Sri Putra di sini menggunakan mesin jahitnya yang berusia 15 tahun dan terpaksa diservis semula.
Katanya, beliau hanya menjahit manakala material baju disediakan oleh Hospital Banting.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kuala Langat dan pihak hospital yang memberi peluang kepada saya untuk menjadi sukarelawan dengan cara ini.
Zainal berkata, beliau difahamkan terdapat seramai 14 sukarelawan lain yang turut menyumbangkan tenaga menjahit PPE di Kuala Langat.
“Semoga ia dapat memberi manfaat kepada kakitangan hospital dan mudah-mudahan Allah SWT menerima sumbangan kecil ini,” katanya yang sebelum ini turut terlibat dalam banyak aktiviti sukarelawan. – SM