fbpx
Nasional

Terap Konsep Amalan 5S, tempoh PKP – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengajak rakyat negeri ini agar menggunakan tempoh berbaki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 28 April ini untuk mula menerapkankan ‘Konsep Amalan 5S’ dalam kehidupan seharian di rumah masing-masing pula seperti yang diamalkan di tempat kerja.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menerima persembahan taklimat dan demonstrasi produk sterilisasi ‘Ecoat Nanion Sterilising Spray’ yang disasarkan bakal menjadi produk sterilisasi tempatan terbaru yang mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

Konsep Amalan 5S telah mula diperkenal kepada syarikat-syarikat di negara Jepun pada awal tahun 1970an lagi sebelum dibawa masuk ke Malaysia pada pertengahan tahun 1980an. Ia telah dipraktikkan dalam sektor swasta terutamanya di syarikat-syarikat multi-nasional dan kini banyak agensi-agensi Perkhidmatan Awam telah mengamalkan Amalan 5S. Malah, ada di kalangannya telah mendapat pengiktirafan menerusi persijilan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Hasrat baginda ialah untuk melihat fokus diberikan oleh setiap ahli keluarga di negeri ini sebagai persediaan awal menghadapi suasana ‘norma hidup baru’ di rumah masing-masing supaya lebih berkualiti dan tersusun hingga mampu mewujudkan persekitaran yang kondusif, selesa dan kemas.

Rakyat hendaklah menggunakan masa terluang keemasan sekarang ini bagi memastikan kawasan rumah masing-masing baik di dalam mahupun di kawasan halaman sentiasa dibersihkan, dilap, dinyah kuman dengan bahan bersesuaian dan selamat.


Begitu juga membersihkan fabrik termasuklah pakaian, cadar, langsir, alas meja, alas kaki, sarung kusyen dan sebagainya dari masa ke semasa. Memastikan bahagian siling rumah tidak bocor, tidak berhabuk begitu juga kipas dibersihkan termasuk membuang sarang laba yang mungkin selama ini tidak begitu diberikan perhatian sebaiknya.

“Setiap ketua keluarga boleh memastikan semua ahlinya memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan inilah juga peluang untuk anda memimpin ke arah keselesaan suasana di rumah. Bagi yang tidak berpengalaman mengamalkan 5S di pejabat, mereka boleh menyemak dan mula mempelajarinya melalui internet atau bertanya dari kenalan dan jiran tetangga,” tambah Baginda.

5S ini merupakan singkatan kepada Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

‘Sisih’ bermakna mengasingkan barang tidak diperlukan untuk disisihkan dan dilupuskan secara sistematik.

‘Susun’ pula adalah proses menyusun barang-barang yang diperlukan secara teratur dan sistematik supaya ia mudah diambil dan dikembalikan ke tempatnya setelah digunakan.

‘Sapu’ dengan cara membersih dan memeriksa ruangan rumah secara berkala dan menyeluruh supaya tiada habuk atau kekotoran sama ada di atas lantai, perabut, mesin dan peralatan rumah.

‘Seragam’ ialah mengekalkan susunan ruang dan peralatan rumah dengan menekankan kebersihan dan kekemasan pada setiap masa, seterunya ‘Sentiasa Amal’ bermaksud melatih ahli keluarga mematuhi sistem persekitaran berkualiti secara berterusan supaya ianya menjadi amalan dan budaya dalam setiap rumah, titah baginda.

Menurut Tuanku Raja Muda lagi, barangan yang sudah tidak digunakan tetapi masih berkeadaan baik boleh diasingkan untuk dikitar semula atau diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan selepas tamat PKP nanti.

“Saya mahu rakyat sentiasa bermentaliti kelas pertama dalam tindakan bagi apa jua keadaan termasuklah semasa PKP, bertindak secara bijak, sentiasa bersih serta mengelakkan sebarang bentuk pembaziran dengan memaksimumkan segala sumber yang ada untuk kebaikan bersama”, tegas baginda.

Selain itu, terdapat juga sebilangan rumah atau premis yang memasang bendera negeri atau Jalur Gemilang, namun berkeadaan lusuh dan koyak kerana sudah bertahun dipasang dan tanpa pemantauan.

Justeru, gantikan segera atau jika masih elok boleh dibersihkan. Pendek kata setiap inci ruang dalam dan laman rumah masing-masing harus diperincikan kerana masa yang ada semasa PKP ini perlu diuruskan sebaiknya dan berkualiti, titah Baginda.

Untuk rekod, Syarikat MyUS Wellness yang merupakan anak syarikat kepada MyUS Group of Companies sentiasa memberikan perhatian mengenai kebersihan serta persekitaran dan telah memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan sterilisasi yang berkualiti dan terjamin dengan pembasmian kuman sebanyak 99 peratus bakteria, virus, kulat, bau dan VOCs.

Ia mampu bertahan sehingga 6 jam untuk penggunaan sentuhan pada kulit, 60 hari bagi penggunaan ringan manakala perkhidmatan sterilisasi di ruang yang luas seperti rumah, tempat ibadat dan pejabat mampu bertahan 1 hingga 3 tahun mengikut kesesuaian keadaan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button