Nasional

Yayasan Ikhlas seru orang ramai sumbang PPE kepada barisan hadapan

YAYASAN Ikhlas menyeru orang ramai turut menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Kamaruddin Kassim berkata, peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 di seluruh negara menyebabkan keperluan PPE sangat mendesak pada masa ini.

Sehubungan itu orang ramai boleh melayari laman web Yayasan Ikhlas bagi menyalurkan sumbangan iaitu http://www.yayasanikhlas.org.my

Tambah Kamaruddin jumlah kes yang banyak telah menyebabkan petugas barisan hadapan perlu menangani wabak berkenaan tanpa henti dalam tempoh yang panjang mengakibatkan bekalan PPE tidak mencukupi.

Sebelum ini sumbangan orang ramai termasuk badan korporat telah digunakan bagi menghantar PPE dan bekalan makanan ke Sabah dan Sarawak.


Bagaimanapun peningkatan kes mendadak di Selangor, Yayasan Ikhlas, ujar beliau, sedang mengumpul dana daripada orang ramai dan korporat bagi membantu kerajaan di Selangor.

Menurut beliau, penularan Covid-19 akan berlaku dalam tempoh yang lama dan ia memerlukan kerjasama orang ramai dan tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata untuk menanganinya.

“Kita berusaha untuk meningkat kesedaran orang ramai untuk turut menyumbang tenaga dan wang bagi membantu kerajaan khususnya bagi menyediakan PPE kepada barisan hadapan,” katanya.

Yayasan Ikhlas, jelas beliau, menjahit sendiri PPE dengan mengambil pekerja dalam kalangan ibu tunggal yang dilatih.

Selain membantu kerajaan, usaha tersebut, ujar Kamaruddin, turut mencipta peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes harian baharu jangkitan Covid19 hari ini sebanyak 2,234 kes, sekaligus merupakan rekod kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Kerajaan juga memutuskan untuk mengaktifkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0.

Keputusan untuk mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera ini berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dengan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

(Visited 354 times, 3 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button