Politik

Covid-19: Putra minta SOP KLIA disemak semula

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 disarankan disemak semula bagi membendung penularan Koronavirus (Covid-19).

Ini kerana terdapat beberapa kaedah SOP dilihat tidak relevan untuk membendung wabak pandemik itu susulan terdapat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan.

Ia termasuklah cadangan perlaksanaan ujian saringan sebelum tiba di KLIA2  dan penjarakan fizikal dalam pesawat.

“Apa yang kami dapati hasil siasatan kami penumpang dibenarkan menaiki pesawat hanya berdasarkan ujian suhu dan pemeriksaan simptom fizika.

“Mereka tidak melakukan ujian klinikal iaitu swab test sebelum berlepas. Ujian swab hanya dilakukan setelah tiba di KLIA2.

“Apa yang menjadi pertikaian pihak kami mengapa ujian hanya dilakukan setelah tiba di KLIA 2.

“Bagaimana nasib penumpang-penumpang yang lain sekiranya terdapat penumpang yang telah dijangkiti virus Covid-19.”

Demikian persoalan dibangkitkan Setiausaha Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Bahagian Sepang, Aznahar Aziz Abd. Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam kenyataan tersebut memaklumkan satu memorandum bantahan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam memorandum tersebut, Aznahar Aziz mempersoalkan penerbangan yang masih wujud dari Tawau, Sabah ke Kuala Lumpur walaupun kawasan tersebut diisytihar sebagai PKPD.

“Dari tarikh hari mula PKPD dilaksanakan di Tawau hingga 2 Oktober 2020 masih wujud penerbangan ulang alik dari KLIA2 ke Tawau.

“Apa yang menjadi persoalan kepada kami adalah mengapa wujud penerbangan tersebut sedangkan rakyat Malaysia maklum akan perintah PKPD dilaksanakan di Tawau,” soalnya.

Dalam pada itu, Aznahar turut mencadangkan supaya penumpang yang tiba dari mana-mana pun di KLIA2 perlu menjalani kuarantin sehingga keputusan ujian keluar.

Ini bagi mengelakkan, penumpang yang dikhuatiri positif Covid-19 bertemu dengan lebih ramai kontak seperti dalam pengangkutan awam dan sebagainya.

“Apakah tindakan tidak mengenakan kuarantin wajib di tempat khas sementara menunggu hasil ujian Swab dapat menyekat penularan pandemik ini.

“Apa yang kami dapati para penumpang tersebut bebas menaiki kenderan umpama teksi KLIA2, Grab, bas dan ERL untuk menuju ketempat masing masing.

“Bayangkan berapa kontak yang telah mereka tempuh sebelum tiba ke destinasi.

“Jelas tindakan tidak kuarantin di tempat khusus menyebabkan kebarangkalian berlakunya penyebaran virus Covid-19 lebih tinggi,” tegasya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button