fbpx
Nasional

COVID-19: Kluster baharu dikesan di Sepang

SATU kluster baharu COVID-19 dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor, iaitu kluster ketiga melibatkan DTI.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI di Semenyih, Selangor dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif COVID-19.

Terdahulu, 60 kes COVID-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata, mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Sementara itu, untuk hari pertama Aidilfitri ini kes positif menunjukkan peningkatan  berbanding semalam apabila 60 kes baharu dilaporkan.

Tujuh daripada kes tersebut adalah yang mendapat jangkitan di luar negara.

Sementara daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Daripada kes bukan warganegara itu, 27 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih manakala enam kes lagi di sebuah kluster baharu di DTI Sepang.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,185. Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baharu di DTI Sepang,” kata Dr Noor Hisham

Pada masa sama beliau memberitahu sebanyak 33 kes yang telah pulih dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah 5,945 kes atau 82.1 peratus.

Bagaimanapun kata beliau, tidak ada kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini katanya, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button