fbpx
Uncategorized

Degil: Lebih seribu kenderaan cuba rentas negeri diarah patah balik

DEGIL! itu yang boleh dikatakan terhadap segelintir rakyat negara ini yang lebih mementingkan diri sendiri untuk pulang beraya walaupun mereka dilarang berbuat demikian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumlah kenderaan yang diarahkan patah balik hari ini kerana melanggar PKPB menunjukkan penurunan, iaitu 1,158 kenderaan, tetapi ia membuktikan masih ada yang degil dan tidak memikirkan keselamatan orang lain.

Mereka ini cuba curi-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga negeri iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan mencatatkan jumlah rentas negeri paling tinggi.

Katanya, Selangor mencatatkan 460 kes, Melaka (121 kes) dan Negeri Sembilan (95 kes) yang dikesan dalam sekatan jalan raya rentas sempadan negeri yang dibuat di seluruh negara semalam.


“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 162 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 157,364 kenderaan.

“Sebanyak 1,158 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 1,613 kenderaan pada hari sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Khas (Task Force)  Operasi Pematuhan telah memeriksa 30,702 kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 vessel selain 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak pembinaan.

“PDRM menahan 156 individu dan menahan reman 50 individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP). PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 106 individu atas kesalahan melanggar SOP,” katanya.

Beliau juga memaklumkan setakat ini 270 pusat kuarantin beroperasi hari ini berbanding 271 semalam, dengan 14,962 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 40,264 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin wajib sejak 3 April lepas manakala 32,287 individu selesai menjalani proses itu dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, di Negeri Sembilan seramai 171 individu telah ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dikuatkuasakan bagi tempoh 18 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata daripada jumlah berkenaan seramai 123 individu telah dituduh manakala 36 orang telah dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKP dan PKPB. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button