Nasional
Trending

COVID-19: Dua pertiga daripada penduduk di tiga PKPD telah disaring

KEMENTERIAN Kesihatan berjaya melakukan saringan dan ujian terhadap dua pertiga daripada keseluruhan penduduk di tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) untuk COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tiga kawasan PKPD itu ialah Simpang Renggam, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga dijangka mengambil masa kira-kira 10 hari untuk melakukan saringan ke atas semua penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD berkuat kuasa hari ini.

“Kami menganggarkan setiap bangunan mempunyai kira-kira 2,500 penduduk untuk diuji dan disaring, jadi dua bangunan ini terdapat dalam 5,000 penduduk.

“Kami sedang melakukan saringan secara aktif dan berharap dalam masa 10 hari (kami boleh) membersihkan kawasan dan mendekontaminasikan serta mensanitasikan kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar harian kementerian mengenai COVID-19 di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada bukti kukuh yang menunjukkan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) mampu mengelakkan jangkitan COVID-19.

Buat masa ini, kajian untuk mencari vaksin COVID-19 giat dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tiada bukti yang kukuh untuk kita katakan bahawa BCG boleh mengelakkan daripada jangkitan COVID-19.

“(Tetapi) Kita harap dalam tempoh satu atau satu tahun setengah lagi (setelah kajian selesai) kita akan dapat vaksin itu di pasaran,” katanya.  – BERNAMA 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button