Nasional

Covid-19 di Kelantan merebak ke lapan daerah

KERAJAAN mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan susulan mendapat penerangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana, berlaku peningkatan 73 kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19) dilaporkan di sana berbanding lapan kes sebelum ini dicatatkan pada 3 November lalu.

Keadaan lebih memburuk apabila lapan daripada 10 daerah di negeri itu mengalamai penularan sehingga terdapat tujuh kluster aktif.

Kluster berkenaan adalah Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di negeri Pantai Timur itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penularan wabak Covid-19 adalah keadaan sosiodemografi penduduk di mana wujud pergerakan penduduk keluar masuk yang banyak.

“Kluster Mengketil terutamanya mencatatkan pertambahan kes yang mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa lima hari.

“Kes-kes dalam kluster ini mula dikesan di daerah Machang tetapi kini telah menular ke daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

“Kluster ini bahkan telah menular ke daerah Besut di negeri Terengganu.

“Kluster ini menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan terdapat risiko penularan yang tidak terkawal sekiranya PKPB tidak dilaksanakan.”

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, menerusi satu kenyataan mengenai perkembangan terkini penularan Covid-19 negara hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut mengumumkan sebanyak 958 kes baharu dilaporkan dan jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia adalah sebanyak 52,638 kes.

Sementara kes aktif yang boleh menyebabkan jangkitan adalah sebanyak 13,221 kes dengan menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi jangkita iaitu sebanyak 512 kes.

“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu sebanyak 512 kes (53.4 peratus), diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan sebanyak 153 kes (16.0 peratus).

“Pelaporan kes positif Covid-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes).

“Selangor dan Negeri Sembilan pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada dan juga kluster baharu,” jelasnya. – SM

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button