PRK
Calon PN bukan wali, tapi tidak terlibat salah guna kuasa
KETIKA UMNO ghairah menyatakan calon mereka mempunyai ciri-ciri wali, Perikatan Nasional (PN) hanya menjanjikan calon yang tidak terlibat dengan kes mahkamah, rasuah dan salah guna kuasa.
Pun begitu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi berharap rakyat Johor memilih calon PN bagi membolehkan Johor ditadbir dengan lebih baik dengan penuh integriti dan sekali gus memacu pertumbuhan negeri.
Muhyiddin dalam hantaran ke media sosial berkata, beliau bersyukur dan gembira apabila kesemua 56 calon mewakili Perikatan Nasional diterima untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac depan selepas proses penamaan calon berakhir.
“Saya juga bersyukur apabila dimaklumkan proses penamaan calon di seluruh negeri pagi tadi berjalan lancar.
“Seperti yang pernah saya tegaskan, mereka yang dipilih mewakili Perikatan Nasional adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat,” katanya.
Setiap calon terpilih, jelas beliau, telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
AKU JANJI
Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.
“Dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, saya percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju, yang mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.
“Sehubungan itu saya menyeru seluruh bangsa Johor agar dapat menyokong dan mengundi calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac nanti. Inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.
“Undilah Perikatan Nasional!” kata Muhyiddin.
Dalam pada itu kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia belum bersedia mengadakan debat secara terbuka di saluran televisyen milik kerajaan melibatkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri PRN Johor.
Namun, Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan itu sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menurut beliau, hal itu kerana PRN Johor adalah isu peringkat negeri manakala saluran televisyen milik kerajaan adalah peringkat nasional.
“Saya tahu banyak negara luar menayangkan sesi debat terbuka, seperti Amerika Syarikat misalnya, namun perdebatan itu hanya melibatkan dua pihak sahaja.
“Di PRN Johor ini, ada tempat sehingga tujuh dan enam penjuru, jadi jika debat terbuka diadakan ia akan melibatkan siapa dengan siapa, kita tidak mahu pilih kasih,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Media PRN Johor hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, saluran media kerajaan sama ada televisyen mahupun radio akan membantu menyebarkan maklumat berkenaan calon-calon yang bertanding seberapa banyak mungkin.
Galeri foto: