Sukan

Gavin Green juarai Kejohanan Golf Trofi Tun Ahmad Sarji

GAVIN GREEN melakar sejarah apabila muncul juara Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) merebut Trofi Tun Ahmad Sarji dengan kelebihan satu pukulan di Kelab Golf Saujana & Country, Subang, hari ini (Sabtu).

Beraksi di pusingan akhir kejohanan bernilai RM200,000 itu di lapangan Bunga Raya dengan kelebihan empat pukulan,  Green mencatat satu bawah par 71 pukulan untuk menamatkan saingan keseluruhan mengumpul 13 bawah par 275 pukulan.

Pencabar terdekat, Danny Chia pula biarpun memberi saingan sengit dengan Green namun terpaksa akur untuk berada di tempat kedua apabila keseluruhan mengumpul 12 bawah par 276 pukulan.

Kenneth De Silva yang memulakan aksi di pusingan akhir di tempat ketiga menamatkan saingan di tempat yang sama berkongsi dengan Sharifuddin Ariffin apabila masing-masing melakar catatan enam di bawah par 282 pukulan.

De Silva mencatat dua bawah par 70 pukulan manakala Sharifuddin pendahulu pada hari pertama melakar tiga bawah par 69 pukulan.

Kejohanan pertama PGM diadakan pada tahun ini selepas dua tahun tiada sebarang pertandingan dianjurkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Khor Kheng Hwai pula berada di tempat kelima keseluruhan mengumpul tiga bawah par 285 pukulan manakala Kemarol Bahrin di tempat ketujuh dengan dua bawah par 286 pukulan.

“Saya gembira berjaya memenangi semula kejuaraan PGM dengan corak permainan saya cukup sempurna.

“Saya rasa cukup selesa serta lega dapat mencatat beberapa catatan terbaik minggu ini dan Chia turut bermain baik serta mencabar saya hingga ke pusingan akhir,” ujar Green.

Selepas ini kejohanan kedua PGM ialah Kejuaraan Maybank bernilai RM120,000 juga berlangsung di Saujana dari 22 hingga 24 Mac.

 

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button