Calon PM-9: PKR tolak Tun M, pilih Anwar
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memilih untuk menolak cadangan bagi mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.
Sebaliknya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mengadakan mesyuarat khas bersama ahli-ahli Parlimen PKR hari ni sebulat suara memilih Presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM-9.
“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, PKR telah mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.
PKR juga menghargai usul dan usaha rakan-rakan dalam DAP dan AMANAH yang secara konsisten menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Menurutnya, permasalahan berbangkit apabila Dr. Mahathir berpendirian mahu kembali buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri.
- Jawatan PM-9 juga bukan hak mutlak Dr. Mahathir
- Ketua Pemuda DAP harap Tun M terus memberi kepimpinan
Kenyataan itu berkata, PKR komited untuk terus mengukuhkan Pakatan Harapan, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi Pilihanraya Umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa.
Mesyuarat tersebut turut membuat keputusan sekiranya PKR kembali menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan, dasar dan program pentadbiran yang dianggotai PKR mestilah mengangkat semangat keadilan untuk semua, mempertahan Perlembagaan Persekutuan serta hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.
Mereka juga akan membela nasib rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, dan memperjuang agenda reformasi serta pembaharuan tata kelola pentadbiran Kerajaan.
Keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil dan pandangan rakyat termasuk masyarakat Melayu yang kritis ketika Pakatan Harapan mentadbir mesti diteliti, difahami, dan dijadikan iktibar untuk perbaiki keadaan. -SM