Politik

Tak harus PM-9 jadi hak mutlak Anwar

RUNDINGAN Pakatan Harapan untuk ambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional dan memilih Perdana Menteri ke-9 tidak harus dengan keyakinan bahawa PM ke-9 merupakan hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik berkata, hakikat yang jelas, tanpa Tun Dr Mahathir Mohamad peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.

Maszlee berkata, PH tidak boleh berharap kepada kemampuan Presiden PKR itu sahaja untuk kembali menjadi kerajaan.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut menegaskan, pengaruh Anwar hanya mampu membawa sokongan 78 hingga 80 Ahli Parlimen Semenanjung sahaja.

Dengan sekongan Ahli Parlimen DAP dan PKR di Sabah dan Sarawak angka tersebut boleh mencapai 92 sokongan. Sokongan itu hanya boleh menjadikan PH sebagai satu blok pembangkang yang cukup kuat sahaja.

“Jika hanya mahu menjadi pembangkang sampai bila-bila, bolehlah ketepikan Tun Dr Mahathir dan pengaruh yang beliau bawa.

“Tapi jika mahu kembali sebagai Kerajaan seperti yang telah diberikan mandat pada PRU14 yang lalu, maka di sinilah ‘galah sejengkal’ Tun Dr Mahathir berperanan,” kata Maszlee.

Maszlee berkata, kedudukan terkini iaitu 107 sokongan bagi pihak PH Plus seperti yang telah diuar-uarkan oleh Anwar boleh dianggap sebagai ukuran galah asal yang tak cukup sejengkal.

Menurutnya, Dr. Mahathir mampu untuk memperoleh sehingga 148 sokongan Ahli Parlimen jika rundingan dan percaturan dibuat dengan betul.

“Galah Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah 91. Tetapi faktor galah sejengkal Tun Dr Mahathir telah memanjangkannya sedikit kepada 107 buat masa ini. Tinggal 5 lagi untuk mencapai buah-buah ranum di puncak.

“Walaupun kedua-dua tokoh iaitu Anwar dan Dr Mahathir telah kehilangan pengaruh yang agak signifikan melalui penghianatan orang nombor dua dalam parti masing-masing, kita tetap juga perlu bertanya soalan yang realistik ini,” kata Maszlee.-SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button