fbpx
Ekonomi

Cagamas terbit bon sukuk RM1.2 bilion

PERBADANAN gadai janji negara, Cagamas Bhd, menerbitkan bon dan sukuk bernilai RM1.2 bilion, terdiri daripada RM600 juta Kertas Komersil Islam (ICP), RM200 juta Kertas Komersil Konvensional (CCP) dan RM400 juta Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chung Chee Leong berkata hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pinjaman gadai janji dan pembiayaan rumah secara Islam daripada sistem kewangan domestik.

“Kami sudah memuktamadkan satu lagi terbitan yang berjaya tahun ini, mewakili pelaksanaan terbitan ke-26 yang menjadikan agregat terbitan tahun ini kepada RM10.2 bilion, menandakan tahun ketiga berturut-turut syarikat melaksanakan terbitan bernilai lebih RM10 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CCP/ICP enam bulan itu ditetapkan secara kompetitif pada 3.25 peratus, 20 mata asas (bps) melepasi Bil Perbendaharaan Malaysia untuk enam bulan dan 17 bps melepasi Bil Perbendaharaan Islam Malaysia, manakala IMTN satu tahun ditetapkan pada harga kompetitif pada 3.29 peratus , 26 bps melepasi Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia yang sepadan.

“Syarikat itu yakin untuk terus memenuhi mandatnya sebagai perantara kewangan antara pasaran modal dan sektor perumahan Malaysia,” kata Chung.


Kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara sesamanya, dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat.

Terbitan itu akan disenarai dan didagangkan dalam Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip. – BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button