Politik

Bekas exco Kedah mahu kembali ke pangkuan UMNO

SELEPAS dua tahun meninggalkan UMNO, Bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid memohon untuk menyertai semula parti.

Mohd. Rawi telah menyerahkan surat rayuan untuk kembali menjadi ahli kepada Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Surat itu diserahkan ketika semasa berkunjung ke rumah Nawawi pada hari ketiga perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Kedah Gazette melapotkan permohonan itu kemudian akan dibawa kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan seterusnya kepada Majlis Tertinggi UMNO.

Turut memohon menyertai semula UMNO adalah bekas Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan, Abdul Razak Mohd Rafie dan Kamarudin Md Isa.

Mohd Rawi yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, beliau ikhlas menyertai UMNO.

“Niat saya ikhlas membantu parti, memperkasa bangsa, memperjuang kepentingan masyarakat. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan Ramadan ini saya melakukan solat istikarah, tidak henti-henti berdoa dan membaca Quran bagi mendapat petunjuk dari Allah. Syukur saya mendapat petunjuk kembali kepada UMNO.

“Saya juga telah berjumpa Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sifu politik saya, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi memohon maaf dan menyatakan hasrat kembali kepada UMNO. Mereka menyatakan restu dan meminta saya terus berjuang,” kata kepada Kedah Gazette.

Kata Mohd Rawi, beliau juga beberapa kali bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincang perkara berkenaan selain meminta maaf kerana meninggalkan parti.

“Kali pertama saya bertemu dengan Najib semasa beliau bercuti aidilfitri di Langkawi tahun lepas dan beberapa kali lagi selepas itu.

“Beliau memberikan nasihat yang sangat menyentuh hati,” katanya.

Mohd. Rawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat keluar dari UMNO pada Disember 2018.

Mohd. Rawi menjadi  ADUN Ayer Hangat selama dua penggal, manakala satu penggal bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian sebelum ditewaskan Datuk Nawawi Ahmad bagi jawatan ketua bahagian.

Turut bersama beliau keluar daripada UMNO pada waktu itu ialah Nur Aini, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Lalang, Abdul Razak Mohd Rafie; Ketua Cawangan Kampung Teluk, Mohd Saiful Mustafa.

Mohd Rawi berkata, beliau sudah memikir secara mendalam demi kepentingan Melayu dan Islam kerana keputusan terbabit sukar dibuat selepas berjuang dengan UMNO sejak 1990.

Alasan beliau ketika itu ialah demi meneruskan perjuangan Melayu dan Islam. – SM

(Visited 846 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button