BANK Rakyat memaklumkan bahawa mereka menghormati dan menerima pendapat anggota yang merupakan salah satu daripada pihak berkepentingan Bank.
Kenyataan tersebut dikeluarkan merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan tuntutan pemansuhan Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202).
Bank Rakyat menasihatkan anggota, pelanggan dan pihak berkepentingan Bank untuk kekal tenang dan menegaskan bahawa operasi perniagaan Bank berjalan seperti biasa dan masih menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan tanpa menjejaskan perniagaannya.
‘‘Sebagai sebuah bank koperasi yang mempunyai hampir 900,000 anggota, Bank menganggap perbezaan pendapat dalam kalangan anggota adalah perkara biasa terutamanya untuk sebuah koperasi yang mempunyai jumlah anggota tertinggi di Malaysia.”
“Kejayaan Bank Rakyat untuk kekal sebagai bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia adalah didorong oleh sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada Bank selama ini.”
Antara pencapaian Bank Rakyat adalah mengekalkan kadar pembayaran dividen minimum 10% atau lebih sejak 20 tahun yang lalu kepada anggota. Selain itu, Bank turut mencatat keuntungan lebih daripada RM1 bilion secara konsisten setiap tahun sejak tahun 2008.
Manakala, penarafan institusi kewangan AA2/Stabil/P1 yang diberikan oleh RAM Ratings kepada Bank Rakyat juga adalah berdasarkan kepada statusnya yang disokong oleh kerajaan, seiring dengan kedudukannya sebagai bank koperasi serta institusi kewangan pembangunan.
“Pada tahun ini, Bank Rakyat turut mempercepatkan pembayaran dividen bagi tahun 2019 sebanyak 14% serta pembayaran zakat perniagaan bagi membantu golongan B40 dan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID-19.”
“Ini membuktikan bahawa kerjasama yang terjalin antara kerajaan dan Bank Rakyat secara amnya telah banyak memberikan manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat.”
“Pencapaian ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesetiaan anggota dan pelanggan Bank. Justeru, Bank Rakyat merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan kepada Bank selama ini,” kata Bank Rakyat.