Politik

Zahid penyelamat UMNO

ANALISIS Oleh Awang Makmur

HARI ini (30 Jun 2020), genaplah dua tahun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO selepas memenangi jawatan itu pada pemilihan parti 2018.

Tarikh itu juga genap setahun beliau kembali meneruskan tugasnya sebagai Presiden UMNO selepas ‘berehat’ lebih enam bulan. Satu tarikh yang mempunyai dua signifikan besar bukan sahaja kepada UMNO dan BN malah politik tanah air.

Zahid telah mengumumkan keputusannya bercuti pada 18 Disember 2018 dan menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam tempoh hampir dua tahun menyandang jawatan Presiden UMNO terutama tahun kedua iaitu selepas kembali daripada bercuti, Zahid telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan senario politik negara.

Beliau perancang utama (mastermind) kepada beberapa gerakan politik yang memberi impak besar antaranya pembentukan Muafakat Nasional bersama PAS dan kejatuhan kerajaan PH serta digantikan dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebagai Presiden UMNO,  Zahid telah memperbetulkan banyak perkara dan mengolah strategi baharu yang dapat menyelamatkan UMNO yang umpama bahtera hampir karam. Beliau mengurus krisis yang melanda UMNO dengan baik walaupun pada awalnya tidak diberi keyakinan dan harapan besar.

Ini termasuk memastikan UMNO berada pada kedudukan kukuh dan teguh di sebalik pelbagai tekanan daripada kerajaan PH, penghinaan, fitnah serta tohmahan.

Parti itu telah mengadakan perhimpunan agung mahupun persidangan bahagian serta cawangan dengan sambutan hebat berbanding Bersatu, PKR dan Amanah yang lesu meskipun berada dalam kerajaan.

UMNO tidak berpecah dua sebagaimana Team A dan Team B ketika krisis 1988. Dengan kata lain hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad, para pemimpin DAP dan PKR mahu melihat orang Melayu meninggalkan UMNO gagal dan tidak kesampaian.

Sebaliknya UMNO masih berdiri gagah dan terus menarik lebih banyak sokongan orang Melayu berbanding ketika hari pengundian PRU-14.

Zahid telah melakukan pembaharuan dan keterbukaan semasa pemilihan UMNO 2018 dengan semua jawatan dalam UMNO dibuka dan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan timbalan Presiden. Ia merupakan sejarah kerana sejak krisis UMNO pada 1988 jawatan Presiden dan timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Bukan itu sahaja Zahid membuktikan beliau adalah pemimpin yang menang dalam pertarungan melalui pemilihan dan bukannya tanpa bertanding. Mandat perwakilan dan akar umbi itu amat berharga bagi pemimpin yang diuji di gelanggang sebenar.

Di peringkat awal,  Zahid selalu dipersoalkan termasuk kononnya beliau tidak punya hala tuju. Apakah dengan memenangi lima pilihan raya kecil (PRK), tumbangkan kerajaan PH dan UMNO menjadi sebahagian kerajaan PN, bukan hala tuju?

Dalam tempoh 12 bulan, UMNO kembali menjadi sebahagian dari kerajaan dan berjaya mendapatkan Johor,  Melaka serta bersama-sama terlibat menukar kerajaan negeri PH di Perak dan Kedah. Dalam tempoh 12 bulan, Zahid berjaya membentuk dan perkukuhkan Muafakat Nasional… itu bukan hala tujukah?

Pembentukan Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS yang selama ini dianggap mustahil untuk disatukan, akhirnya menjadi kenyataan pada era Zahid sebagai Presiden UMNO. Siapa menduga ahli-ahli UMNO dan PAS boleh duduk bersama di Dewan Merdeka, PWTC berkongsi agenda politik.

Berdoa bersama, melaungkan takbir bersama dan menyanyikan lagu parti masing-masing bersama. Ramai yang berada di dalam PWTC yang tidak dapat menahan sebak dan menangis dengan detik-detik sebegini. Begitu juga dengan para penyokong dan majoriti orang Islam yang bersyukur serta gembira atas penyatuan tersebut.

Program bersama antara UMNO dan PAS turut diperluaskan di peringkat negeri dan bahagian di seluruh negara, yang mengukuhkan lagi semangat Piagam Muafakat Nasional.

Kesibukan beliau mengurus perihal UMNO adalah seperti biasa walaupun bekerja dari rumah. Sebenarnya tiada istilah cuti pada jiwa Zahid dan beliau memainkan peranannya tersendiri, yang tidak diketahui ramai. Sepanjang bercuti, beliau merancang di belakang tabir termasuk dalam menghadapi beberapa PRK. Walau apa pun tafsiran, hakikatnya kejayaan BN/UMNO pada kelima-lima PRK juga adalah manifestasi kepada kepimpinan Zahid memainkan peranannya dengan sabar, tenang dan fokus.

Pastinya sumbangan beliau yang lebih signifikan dan memberi impak besar selepas Zahid menamatkan ‘tempoh berehat’ bagi meneruskan tugas sebagai Presiden. Maka bermulalah episod-episod yang semakin menyaksikan Zahid adalah penyelamat UMNO, yang hakikat itu tidak boleh dinafikan.

Apa yang boleh dijangka selepas 1 Julai 2020? Kedudukan UMNO dan BN akan lebih kukuh serta telah bersedia untuk memenangi PRU-15 bagi menerajui semula kerajaan. Penerimaan dan keyakinan rakyat terutama orang Melayu kepada Zahid melonjak. Daripada selalu diambil mudah dan disalahertikan sebelum ini, Zahid lebih dihormati dan mulai digeruni lawan mahupun kawan.

Kini Zahid menjadi nakhoda harapan bagi membawa kebangkitan sebenar kepada pelayaran baharu bahtera UMNO. Beliau akan melonjakkan parti keramat ini ke dimensi baharu. Zahid telah membuktikan rekod cemerlang, lasak dan teruji sepanjang dua tahun menerajui UMNO.

Cabaran besar tetap menanti beliau, tetap berliku dan tetap berdepan kompleksiti, namun  Zahid pastinya jauh lebih bersedia dengan misinya sebagai penyelamat politik bangsa. Pasti rakyat akan membuat pilihan tepat memilih BN yang diterajui Zahid pada 4 Julai ini. – SM

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button