
Bendera lambang kedaulatan negara, tidak boleh dipersenda – Agong
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda pada hari ini (16 April).
Seri Paduka Baginda, bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Dalam pada itu Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Sin Chew Daily yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, bersebelahan bendera negara China dalam cetakan akhbar syarikat media itu.
Ketua Pemuda PAS , Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan itu bukan sahaja merupakan satu kesalahan besar, malah mencerminkan sikap tidak patriotik dan penghinaan terhadap kedaulatan negara.
“Bulan sabit pada Jalur Gemilang bukan sekadar lambang grafik, tetapi merupakan simbol penting yang mewakili Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Maka, pengguguran lambang ini daripada bendera negara tidak boleh dianggap sekadar satu ‘kesilapan teknikal’, sebaliknya merupakan satu tindakan yang mencalar simbol kenegaraan serta memperlekehkan asas Perlembagaan.
“Ia adalah satu bentuk pengkhianatan yang tidak wajar dimaafkan begitu sahaja,” katanya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Terdahulu, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan terbitan akhbar tersebut semalam.
Menurut syarikat media berbahasa Cina itu, perkara berkenaan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Namun begitu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, permohonan maaf yang dikeluarkan oleh pihak akhbar tidak seharusnya menjadi ‘tiket pelepas’ kepada tindakan subversif seperti ini.
“Ia jelas mengguris maruah negara dan boleh disifatkan sebagai cubaan halus untuk menghapuskan identiti kebangsaan.
“Perbuatan ini turut menimbulkan persoalan besar berhubung kesetiaan pihak editorial terhadap negara dan memperlihatkan kelemahan prinsip kewartawanan yang seharusnya menjunjung semangat patriotisme serta tanggungjawab sosial,” katanya.
Justeru, Pemuda PAS Malaysia mendesak kerajaan, khususnya Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
“Tiada mana-mana entiti media di negara ini yang boleh bertindak sewenang-wenangnya mencemarkan simbol dan maruah negara tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.
“Jika kerajaan sebelum ini boleh mengambil tindakan terhadap stesen radio ERA menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, maka prinsip keadilan dan ketegasan yang sama mesti diterapkan terhadap akhbar Sin Chew Daily menggunakan peruntukan undang-undang yang bertepatan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan bertindak tegas dalam isu ini akan membuka ruang kepada lebih banyak penghinaan berterusan terhadap Islam, kedaulatan negara dan asas Perlembagaan.
“Tindakan yang tegas, adil dan berprinsip mesti diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang dan maruah negara terus dipertahankan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam pada itu memandang serius insiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily pada 15 April 2025.
“Simbol bulan sabit bukan sekadar rekaan grafik – ia membawa makna besar sebagai lambang Islam sebagai agama Persekutuan. Kecuaian ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut berisiko menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara kita,” katanya.
KDN, katanya, telah memulakan siasatan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Akta 414) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Akta 301). Pihak Sin Chew Daily juga telah dipanggil dan diberi Surat Tunjuk Sebab.
“Sebagai penjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan simbol kedaulatan dan perpaduan negara,” katanya.