
Pelajar Baharu ELMU Diseru Jadi Agen Perubahan dan Warganegara Global
PELAJAR baharu perlu sentiasa bersikap ingin tahu, mencabar diri dan terbuka menyertai pelbagai projek serta perbincangan yang boleh memacu pertumbuhan akademik dan profesional mereka, kata Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ELMU menyampaikan amanat tersebut dalam ucapan sempena Majlis Orientasi pelajar baharu bagi sesi pengambilan April yang berlangsung di kampus utama ELMU di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

“Pada fasa yang penting ini, nasihat saya mudah sahaja. Selalulah bersikap ingin tahu, selalu bertanya, cabar diri anda untuk melangkaui apa yang anda sudah ketahui, dan libatkan diri dalam projek, aktiviti serta perbincangan yang dapat membantu anda berkembang secara akademik dan profesional,” ujarnya.
Datuk Kassim turut mengalu-alukan pemilihan para pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta mengingatkan mereka supaya bersedia menempuh masa depan yang mencabar namun penuh harapan.
“Hari ini menandakan permulaan sebuah perjalanan baharu. Di ELMU, anda akan menemui pelbagai peluang. Anda bukan sahaja akan belajar, tetapi juga mengenali siapa diri anda serta aspirasi dan matlamat hidup anda,” katanya.
Tambah beliau, ELMU komited terhadap misi melahirkan individu yang berilmu, beretika dan holistik untuk berkhidmat kepada masyarakat dan dunia, selaras dengan visinya untuk menjadi institusi pendidikan terkemuka yang melahirkan warganegara global yang bersifat ihsan, inovatif dan berintegriti.
Majlis orientasi tersebut menyaksikan kemasukan kohort kedua pelajar baharu yang mendaftar dalam enam program utama: Diploma in Law Enforcement, Diploma in Disaster Management, Bachelor of Law Enforcement, Bachelor of Disaster Management, Master of Science in Intelligence and Surveillance, dan PhD in Law Enforcement.
ELMU memperoleh lesen operasinya pada Februari 2024 dan memulakan pengambilan kohort pertama pada Oktober tahun yang sama.