BanjirNasional

Banjir: Penduduk empat kampung di Kuala Krai terperangkap

SERAMAI 1,000 penduduk di empat kampung dekat Kuala Krai terputus hubungan berikutan Jambatan Kuala Pertang ditenggelami air susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas.

Penduduk, Ahmad Che Nok, 72, berkata kawasan terlibat ialah Kampung Kuala Pertang, Kampung Tanjung Kala, Kampung Pasir Jering dan Kampung Tanjong Pagar.

“Sudah tiga kali jambatan ini ditukar dan lebih 30 tahun penduduk menggunakannya setiap hari namun apa yang mengecewakan ialah apabila berlaku banjir, jambatan ini sering ditenggelami air.

“Penduduk di empat kampung tidak mempunyai jalan alternatif lain, hanya bot tambang sahaja yang ada sekiranya mahu keluar untuk urusan mustahak seperti membeli makanan, barangan dapur dan mendapatkan rawatan jika sakit,” katanya semasa ditemui di Kampung Kuala Pertang di Kuala Krai semalam.

Beliau berkata setiap kali tiba musim tengkujuh, penduduk terperangkap apabila jambatan utama di situ tenggelam disebabkan pembinaannya yang berketinggian hanya 2.4 meter berbanding paras air melebihi 3.7 meter beberapa hari lepas.


Ahmad berkata beliau dan beberapa penduduk kawasan sekitar kerap terperangkap kerana jambatan itu mudah tenggelam dan mengambil masa selama dua hingga tiga minggu untuk air surut namun bergantung kepada keadaan cuaca.

“Sudah lama penduduk menghadapi kesulitan ini dan berharap pihak berwajib memberi perhatian untuk menaik taraf jambatan yang banyak memberi manfaat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, pemandu bot tambang Mohd Sufakimi Che Noh, 26, berkata sejak tiga hari lepas, beliau bertanggungjawab mengemudi bot untuk mengangkut penduduk pergi dan balik kerja serta mereka yang ingin membeli barangan runcit dari Tanjung Kala.

“Setiap hari bermula 7 pagi hingga 7 petang, saya sudah bersiap sedia untuk membawa mereka yang memerlukan khidmat bot tambang dan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM2 untuk sehala.

“Secara purata saya membawa sekurang-kurangya 30 hingga 40 penumpang dalam sehari yang mahu keluar untuk melakukan urusan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata pihak berwajib perlu memberikan perhatian terhadap perkara itu kerana arus sungai yang deras boleh mengancam nyawa pengguna jalan air tersebut. – BERNAMA

(Visited 94 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button