MAKAN tengah hari terakhir. Inilah yang berlaku ke atas seorang banduan yang secara tiba-tiba diserang sesak nafas ketika sedang menikmati makan tengah hari di bilik tahanannya di Pusat Koreksional Perlis pada kira-kira pukul 1.15 petang kelmarin (4 Julai).
Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Shaharruddin Abdul Talib berkata, pihak penjara kemudiannya membawa Mohd Hanafiah Abdul Samad, 42, ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar pada pukul 1.40 petang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, Mohd Hanafiah telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Beliau berkata, banduan ini adalah dalam tempoh tahanan reman dari Mahkamah Langkawi, Kedah.
“Mangsa telah ditahan di Pusat Koreksional Perlis sejak 16 Mei lalu atas kesalahan dadah dibawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB 195),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, Mohd Hanafiah juga didapati mempunyai sejarah penyakit Hepatitis C dan menggunakan “inhaler” kerana dia sering mengalami semput serta sesak nafas.
Beliau berkata, bedah siasat dilakukan semalam (5 Julai) berikutan waris mangsa tidak dapat hadir kerana berada di Langkawi, Kedah.
Beliau mengklasifikasi kes ini sebagai kematian mengejut (SDR). – SM