Bagaimana jadi pembonceng yang baik
MENUNGGANG motosikal satu hal, tetapi satu hal lagi apabila membawa penumpang atau pembonceng.
Tidak kurang juga kemalangan berpunca daripada pembonceng yang kekok sehingga mengganggu kelancaran penunggangan.
Daripada mula menaiki dan turun motosikal hingga ke tahap kritikal ketika mengambil selekoh.
Situasi gawat itu berlaku apabila pembonceng seorang yang jarang menaiki motosikal.
Kadangkala pakaian dikenakan tidak sesuai seperti baju kurung sudah pasti sukar untuk menaiki motosikal berbanding memakai seluar.
Justeru kalau hendak naik juga perlu menyelak kain dan ini akan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya selain mengganggu penunggang.
Kaedah pembonceng duduk mengiring pula sering digunapakai di Indonesia dan ia menjadi perkara biasa dan wanita di sana kelihatan selesa dan cekap mengimbang badan ketika motosikal menyelit dicelah-celah kesesakan lalu lintas.
Bagaimanapun pembonceng perlu memastikan setidak-tidaknya sebelah kaki berpijak kepada bahagian kaki pembonceng dan seboleh mungkin wajah harus tetap menghala ke hadapan. Sementara sebelah tangan tetap memaut penunggang.
Cara terbaik sudah pastilah dengan duduk mengadap ke hadapan, dengan kedua peha mengepit penunggang dan kedua-dua tangan juga memeluk penunggang.
Kedua-dua berpijak pada bahagian kaki penumpang bagi mengekalkan keseimbangan dan mengagihkan berat pada kedudukan yang betul.
Pembonceng perlu bersatu dengan penunggang dan ini penting khususnya ketika mengambil selekoh.
Jika pembonceng menyendengkan diri pada arah bertentangan dengan penunggang ia menyebabkan motosikal sukar dikawal ketika mengambil selekoh dan kemungkinan besar akan tergelincir.
Satu lagi situasi apabila pendikit diputar agak mengejut, jika pembonceng tidak menyatu dengan penunggang ia boleh menyebabkan mereka terhoyong-hayang atau terpelanting ke belakang.
Ketika brek secara mengejut pula pembonceng boleh tercampak ke hadapan.
Selamat menjadi menjadi pembonceng yang baik.