BeritaEkonomi

Azmin pertahan PNB walaupun dividen ASB rendah

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang dikritik selepas mengumumkan pembayaran dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang terendah sejak ia dilancarkan pada 1990.

Mohamed Azmin berkata PNB telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pendeposit dan pemegang saham mendapat pulangan mereka walaupun iklim ekonomi yang lemah.

“Selain daripada pasaran global dan juga isu tadbir urus sebelum ini, pasukan pengurusan PNB yang baharu telah mencuba yang terbaik untuk memastikan tadbir urus dan kebertanggungjawaban menjadi tonggak dalam pasukan baharu,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata kerajaan akan memastikan PNB diurus dengan baik, dengan integriti dan kebertanggungjawaban.

“Kami mahu memastikan PNB diurus dengan telus dan kebertanggungjawaban, dan PNB akan menjelaskannya. Ia melibatkan lebih RM9 bilion dan ia bukan jumlah wang yang kecil,” katanya.

Pada Rabu, PNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit kepada pemegang unit ASB, terdiri daripada pengagihan sebanyak lima sen dan bonus 0.5 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

Pengagihan pendapatan bagi tahun ini lebih rendah daripada jumlah pengagihan pada tahun lepas sebanyak tujuh sen seunit.

Jumlah pembayaran bagi pengagihan pendapatan sebanyak RM9 bilion, memberi manfaat kepada 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit, menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dana itu dan bonus kepada RM152 bilion sejak penubuhannya pada 1990.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata lebih banyak perbincangan diperlukan untuk mencari rakan strategik bagi Malaysia Airlines Bhd berikutan kerajaan telah menerima beberapa cadangan daripada penggiat serantau dan antarabangsa.

“Kami baru sahaja mengadakan mesyuarat lembaga pengarah kami pada 17 Dis dan perkara ini dibincangkan, tetapi cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah itu tidak cukup menarik untuk kami membuat keputusan.

“Oleh itu, perdana menteri, pengerusi dan lembaga pengarah bersetuju bahawa kami perlu melihat pilihan lain sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button