Nasional

Apa kesudahan nasib kami? – Pesawah Paya Luboh

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 30 Jun – Sampai bilakah nasib 50 pesawah membabitkan kawasan seluas 80.93 hektar di Paya Luboh dekat sini akan terus berdepan dengan masalah tanaman padi ditenggelami air setiap kali berlaku hujan lebat.

Sepanjang bulan ini sahaja, sudah tiga kali sawah di sini ditenggelami air termasuk yang terbaharu sewaktu banjir kilat melanda seluruh Melaka pada 23 Jun lalu.

Keluhan pesawah tersebut sudah kerap kali diajukan kepada kerajaan negeri termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri namun masalah yang menghantui mereka tetap berlaku seperti tiada kesudahannya.

Paling memeritkan ke semua pesawah menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 setiap kali air menggelamkan seluruh kawasan sawah diusahakan mereka yang sudah berlarutan sejak sekian lamanya.

Mengharapkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman untuk membantu namun beliau langsung tidak turun padang meninjau apa lagi menemui pesawah di sini.

Seorang pesawah Ab. Rahman Tambi Adam, 58, berkata, satu jalan penyelesaian perlu dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi mencari jalan agar sawah tidak ditenggelami lagi air setiap kali hujan lebat berlaku.

Ab. Rahman Tambi Adam

Menurutnya, antara paling utama ialah pembinaan jambatan kekal yang baharu bagi menggantikan jambatan culvert yang sedia ada berhampiran sawah berkenaan.

“Jambatan culvert yang ada terlalu sempit hingga menyebabkan limpahan air dari sungai Udang tidak dapat mengalir keluar dengan baik hingga memasuki seluruh kawasan sawah.

“Ditambah dengan sampah sarap bertimbun menutup aliran air sungai menyebabkan air bertakung hingga melimpah memasuki sawah hingga merosakkan anak padi baru ditanam,” ujarnya di sini hari ini.

Dia berkata, pesawah telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan jambatan baharu itu sejak lebih 10 tahun lalu namun sehingga kini tidak ada khabar berita mengenai perkara tersebut.

 

Mohd. Sabri Yusof,

Seorang lagi pesawah, 55, turut berpendapat, pembinaan jambatan baharu itu dilihat dapat menyelesaikan masalah limpahan air sungai yang menjejaskan tanaman padi di seluruh kawasan sawah di Paya Luboh.

Menurutnya, apabila air melimpah memasuki sawah ia bukan sahaja menjejaskan dan merencatkan anak padi yang ditanam tetapi paling teruk apabila jalan ladang runtuh menimbulkan masalah untuk kenderaan masuk membawa hasil keluar.

“Saya sudah usahakan tanaman sawah hampir 10 tahun di kawasan seluas 7.28 hektar setiap kali air melimpah menggelamkan sawah, saya rugi hampir RM18,000,” ujarnya.

Suhaimi Mustafa

Sementara bagi Suhaimi Mustafa, 63, mengharapkan agensi berkaitan untuk melihat cadangan dan pandangan daripada pesawah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi itu.

“Saya dan pesawah yang lain sudah penat membuat aduan. Mengapa tidak pandangan kami ini dipertimbangkan agar sawah tidak lagi ditenggelami air apabila kerap berlaku hujan lebat,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button