
Raja Muda Perlis ingatkan seluruh warga MAIPs utamakan Maqasid Syariah sebagai panduan
KUALA PERLIS 19 Feb. – Pengurusan Islamik tidak sekadar memenuhi aspek teknikal dan pentadbiran semata, tetapi juga menuntut keutuhan akhlak, ketelusan, dan keberkesanan dalam menyampaikan manfaat kepada umat. Oleh itu, adalah diseru agar seluruh warga Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk terus menjadikan prinsip ‘maqasid syariah’ sebagai panduan utama dalam setiap langkah, dasar, dan keputusan yang diambil.
Kita perlu pastikan bahawa pengurusan Islamik perlu sentiasa memberi impak yang tinggi kepada Ummah. Seiring dengan objektif ini, keberhasilan yang dicapai bukan hanya diukur melalui angka atau laporan semata-mata, tetapi melalui kesan positif yang dirasai oleh rakyat khususnya umat Islam.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Ar-Rahmaniah Seberang Tok Pi, Kuala Perlis baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis sumbangan ini juga merupakan aktiviti mingguan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyampaikan sumbangan daripada MAIPs kepada 75 orang penerima yang merupakan anak kariah Ar-Rahmaniah dan 75 orang lagi dari kalangan anak kariah Al-Hussain dengan jumlah keseluruhan sumbangan MAIPs sebanyak RM105,000 pada kali ini.
Asnaf yang terpilih pada kali ini bukan sahaja menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 malah dapat menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan ceramah berkisarkan ‘Menjauhi Najis Dadah’ dan ‘Bangun Jiwa Asnaf’ yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan pihak MAIPs.