Nasional

Kerajaan jamin kadar inflasi kekal rendah – Annuar Musa

Wartawan Suara Merdeka

PUTRAJAYA 30 Jun – Kerajaan akan memastikan Malaysia akan terus berada pada kadar inflasi yang
paling rendah ketika petujuk-petunjuk secara jelas menunjukkan peningkatan inflasi di peringkat
global sedang berlaku di seluruh dunia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri
Annuar Musa berkata, kerajaan memandang serius impak terhadap rakyat yang terjejas ekoran kenaikan
harga barangan dan kenaikan kos sara hidup yang berlaku ketika ini.

Menurutnya, masalah inflasi tidak boleh dielakkan kerana ia berlaku di peringkat global terutama di
negara-negara maju dan ASEAN dengan kadar kenaikan inflasi mencecah dua digit.

“Kita bersyukur kerana kadar inflasi Malaysia adalah antara yang paling rendah iaitu pada kadar 2.8
peratus. Kadar ini adalah yang paling rendah berbanding negara-negara ASEAN dan negara-negara maju
yang lain.

“Ramai tidak menyedari keadaan ini kerana ia adalah komitmen kerajaan menggunakan pendekatan
mengawal kenaikan harga terutama barangan keperluan selain membayar subsidi barangan-barangan
tertentu.

“Dalam Sidang Parlimen tahun lalu, telah meluluskan anggaran Belanjawan bagi pembiayaan pelbagai
bentuk subsidi untuk tahun 2022 adalah sebanyak RM33 bilion,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas
Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki
Ali.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jemaah Menteri telah bersetuju
untuk menubuhkan pasukan khas itu bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran berikutan
kenaikan kos sara hidup.

Mengulas lanjut Annuar berkata, berasaskan kepada kenaikan pelbagai barangan terutama kenaikan harga
petrol dan lain-lainnya, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun 2022
mencecah RM70 bilion.

Katanya, itu bermakna kerajaan mengekalkan dasar mengekalkan subsidi barangan-barangan tertentu agar
rakyat tidak terkesan dengan suasana inflasi yang sedang berlaku dan paling utama mengekalkan kadar
itu pada tahap paling rendah.

Tegasnya, penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan komitmen Perdana Menteri dan kerajaan untuk
memastikan kadar inflasi negara terus kekal rendah dengan pendekatan pemberian subsidi beberapa
barangan tertentu.

“Tugas utama jawatankuasa ini adalah bekerjasama sebagai satu pasukan dengan agensi-agensi terbabit
dan tidak terhad kepada kementerian yang menduduki jawatankuasa ini. Kita akan mengundang
kementerian lain serta agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia
(PDRM),” ujarnya.

Selain itu katanya, kumpulan-kumpulan pakar rujuk yang berkemahiran tinggi turut menyertai
jawatankuasa ini bagi memberikan pandangan dan nasihat kepada jawatankuasa ini mengenai langkah-
langkah yang perlu dilaksanakan.

Justeru Annuar jawatankuasa itu akan memberi perhatian kepada semua harga barangan dan perkhidmatan
yang boleh menyumbang kenaikan kadar inflasi selain ayam, telur dan minyak masak.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan terus memantau jika berlaku kenaikan harga ayam selepas kerajaan
menetapkan harga baharu iaitu RM9.40 sekilogram termasuk minyak masak paket.

“Kerajaan sanggup keluarkan perbelanjaan tinggi bagi mengawal harga ayam dan juga telur yang
mencecah lebih RM330 juta bagi memastikan semua pihak dalam semua industri ayam diberikan perhatian
sewajarnya,” ujarnya.

Menurutnya, penguatkuasaan akan dipertingkatkan kepada mana-mana individu atau syarikat-syarikat
yang melanggar Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 kerana denda-denda tertentu boleh dikenakan
serta kompaun boleh dikenakan kepada mereka yang melanggarnya.

 

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button