Nasional

Tiada lagi pencemaran minyak di Kampung Sungai Udang Jaya

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 30 Jun – Langkah mendalamkan sungai Paya Setokok di Kampung Sungai Udang Jaya dan pemasangan
semula dua perangkap minyak atau oil boom berjaya mengatasi masalah pencemaran akibat tumpahan
minyak yang melanda penduduk sejak lebih seminggu lalu.

Ketua Kampung, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan pantas dilakukan oleh Petronas Penapisan
(Melaka) Sdn. Bhd. membantu mendalamkan sungai Paya Setokot sepanjang dua kilometer (km) telah
berjaya mengatasi masalah yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, penduduk tidak lagi mengadu masalah batuk akibat terhidu bau minyak berpunca daripada
tumpahan minyak yang berlaku.

“Alhamdulillah, kami seluruh penduduk di Kampung Sungai Udang Jaya mengucapkan terima atas usaha
yang dilakukan oleh Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. di Sungai Udang.

“Usaha mendalamkan sungai Paya Setokok dan pemasangan dua perangkap minyak berjaya mengatasi masalah
pencemaran.

“Paling dibimbangi jika pencemaran itu memasuki Sungai Lubuk Bakong dan boleh menjejaskan sawah padi
di Kampung Paya Rumput Jaya, Kampung Sungai Udang Jaya dan Paya Luboh berjaya dielakkan,” ujarnya di sini hari ini.

Beliau ditemui bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri
(Japerun) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad ketika meninjau kerja-kerja yang telah
dilakukan oleh Petronas Penapisan (Melaka).

Sebelum ini SM menyiarkan keluhan penduduk Kampung Sungai Udang Jaya berikutan tumpahan minyak dari
sebuah premis perindustrian menyebabkan sungai Paya Setokok tercemar sejak seminggu lalu.

Situasi itu juga menyebabkan beberapa penduduk berhampiran mula mengalami batuk akibat terhidu bau
minyak di sungai berkenaan.

Sehubungan itu Ismail meminta agar pihak Petronas Penapisan (Melaka) untuk membantu memantau jika
berlaku pencemaran itu berulang semula.

Menurutnya, pihak terbabit mengambil masa selama tiga hari bagi mendalamkan sungai Paya Setokot
sepanjang dua km sejak Selasa lalu.

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button