
Pegawai tentera dilaporkan hilang ditemui selamat di Masjid Karak
SEORANG pegawai tentera yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak malam Ahad lalu akhirnya ditemui selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan bahawa Mejar Mohd. Zainuddin Ishak dijumpai di sebuah masjid di Karak, Pahang.
“Orang hilang (OH) ditemui selamat di sebuah masjid di Karak, Pahang. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Sebelum ini, kehilangan Mohd. Zainuddin menjadi perhatian selepas seorang pemilik Facebook, Abu Mikhail Mohd Fauzi, memuat naik hantaran memohon bantuan orang ramai untuk mengesan abang iparnya itu.
Difahamkan, pegawai tentera berkenaan kali terakhir dilihat menaiki sebuah Perodua Ativa bernombor pendaftaran VGU 3986 sekitar pukul 7 malam sebelum gagal dikesan.
Pihak polis turut mengesahkan menerima laporan kehilangan beliau selepas dia tidak hadir bertugas di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur. Laporan tersebut dibuat oleh seorang pegawai kem berkenaan di Balai Polis Jalan Tun Razak pada jam 7.08 malam kelmarin.