NasionalNegeri

Anak muda perlu ceburi agromakanan – Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya lebih ramai lagi anak muda termasuk graduan belia untuk menceburi sektor agromakanan di negeri ini.

Baginda bertitah, sehingga kini pelaksanaan Projek Usahawan Tani Perlis Superfruits Valley yang cuba melahirkan lebih ramai usahawan tani berjaya dari golongan graduan belia hendaklah diberi perhatian serius.

Salah seorang asnaf menerima agihan zakat yang berkenan disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sempena kayuhan MAIPs Peduli di Masjid Al-A’la, Behor Temak di Kangar.

“Difahamkan seramai lapan orang graduan belia telah berjaya dilatih dan adalah diharap semoga usaha-usaha sebegini akan dapat terus membantu memacu kelestarian sekuriti makanan negara,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada 70 penerima dari kariah Behor Temak dan 70 lagi dari kariah Kota Kayang di Masjid Al-A’la, Behor Temak di Kangar baru-baru ini.

Turut serta ialah kepimpinan tertinggi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diketuai oleh Rektornya, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan memberikan amanat kepada para asnaf yang hadir menerima sumbangan zakat sempena kayuhan MAIPs Peduli di Masjid Al-A’la, Behor Temak, Kangar.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan para pensyarah KUIPs agar sentiasa meletakkan integriti dan sifat dedikasi yang tinggi dalam mendidik pelajar kerana cara ini akan membentuk graduannya kelak menjadi insan yang berjaya dan akan menjadi generasi harapan kepada bangsa dan negara.

Baginda juga berharap supaya semua pelajar KUIPs membuktikan keupayaan masing-masing di tahap optimum melalui kesungguhan, semangat tidak putus asa dan sifat dedikasi yang tinggi untuk meneruskan dan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada para asnaf sempena kayuhan MAIPs Peduli di Masjid Al-A’la, Behor Temak, Kangar.

Sempena program tersebut juga Baginda kemudiannya berkenan berangkat mengetuai program kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid tersebut.

Baginda berkenaan menyantuni tiga asnaf iaitu Aishah Din, 73, di Kampung Behor Temak; Alus Ahmad, 77 di Kampung Hutan Melintang dan Puan Ibrahim, 74 di Kampung Behor sambil menyerahkan sumbangan zakat RM700 setiap seorang. – SM

BACA RISDA sedia inisiatif Program Agromakanan atasi kekurangan bekalan makanan

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button