AirAsia Superapp sertai inisiatif Payung Rahmah
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini telah melancarkan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama airasia Superapp yang diadakan di Ibu Pejabat Airasia Superapp, KL Sentral, Kuala Lumpur.
Selaras dengan pelancaran ini, airasia Superapp akan melaksanakan Inisiatif-Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH secara berperingkat demi membantu memudahkan perjalanan dan menginap secara mampu milik
serta berpatutan untuk seluruh rakyat Malaysia MADANI.
Sebagai permulaan, Airasia Superapp menyahut seruan KPDN melalui penawaran seperti berikut dalam tempoh tiga (3) bulan pertama mulai tarikh pelancaran, iaitu: –
a. Promosi RM1 airasia ride di lima (5) lokasi terpilih di Lembah Klang iaitu Putrajaya dan Cyberjaya (sebagai satu kawasan gabungan), Bukit Bintang, Bandar Sunway, Bangsar South dan Mont Kiara. Promosi ini tersedia pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 12.00 tengah hari untuk 3,000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM5).
b. Pakej RAHMAH Ride, Fly & Stay yang ditawarkan kepada semua pengguna yang berjaya mendapatkan Promosi RM1 airasia ride dan seterusnya diberi peluang untuk menebus tempahan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa melalui platform OTA (ejen pelancongan dalam talian) dan tempahan hotel, masing-masing dengan diskaun RM50 setiap satu dengan memasukkan kod promosi “RAHMAH50” semasa membuat pembayaran;
c. Diskaun RM50 untuk tempahan penerbangan ke semua destinasi antarabangsa melalui platform OTA dengan memasukkan kod promosi “RAHMAH50” semasa membuat pembayaran (tertakluk kepada 100 transaksi pertama pada setiap hari)
d. Diskaun RM50 untuk tempahan hotel di semua destinasi tempatan dan antarabangsa melalui melalui platform OTA dengan memasukkan kod promosi “RAHMAH50” semasa membuat pembayaran (tertakluk kepada 100 transaksi pertama pada setiap hari).
Sejak ditubuhkan dari Oktober 2020, airasia Superapp komited dengan visinya untuk menyediakan pengalaman tempahan perjalanan yang lancar untuk setiap pengguna dari mula hingga ke akhir perjalanan mereka, daripada
penerbangan, hotel, pengangkutan ke lapangan terbang, pengalaman kulinari, pembelian bebas cukai, insurans dan sebagainya dalam satu aplikasi mudah.
Kesemua perkhidmatan ini dirangkumkan oleh program ganjaran kesetiaan ‘airasia rewards’, yang membolehkan pengguna memperoleh dan menebus mata ganjaran untuk setiap transaksi yang dibuat menerusi aplikasi ini.
KPDN amat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan melalui aplikasi airasia Superapp di bawah pengurusan Capital A Berhad dan pasukan airasia Superapp sendiri sebagai bukti jelas bahawa cabaran daripada pihak Kerajaan Malaysia, khususnya KPDN terus disambut baik oleh pemain-pemain industri dan telah melangkaui permintaan di luar sektor peruncitan sendiri.
KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalm situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN
sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyatMalaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.
Di bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.
Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.
KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan. – SM