
PM sambut baik gencatan senjata di Gaza
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik pengumuman gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad ini.
Beliau menyifatkan langkah penting ini sebagai satu kelegaan besar kepada rakyat Gaza yang telah menderita sekian lama akibat konflik yang berterusan.
Turut merakamkan penghargaan kepada usaha gigih yang dimainkan oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat dalam memediasi perjanjian ini.
Selain itu, beliau memuji Presiden Amerika Syarikat yang baharu dilantik, Donald Trump, atas peranannya dalam memastikan rundingan tersebut berjaya mencapai kata sepakat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan perjanjian ini dipatuhi sepenuhnya.
Ia harus menjadi pemangkin kepada perbincangan lanjut bagi mencapai kestabilan jangka panjang dan mempercepatkan usaha pembinaan semula Gaza yang telah musnah akibat konflik.
Sebagai langkah ke hadapan, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, bagi mempercepatkan pelaksanaan pelan pembinaan semula Palestin yang telah dipersetujui semasa lawatan Ishiba ke Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya kerjasama dan sokongan dari negara-negara rakan di Asia Timur amat penting untuk memastikan proses pembinaan semula berjalan dengan lancar dan berkesan.
Pada masa yang sama, menzahirkan keprihatinannya terhadap kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin serta pengusiran lebih dua juta penduduk dari kediaman mereka.
Dan menekankan bahawa keadilan dan pertanggungjawaban atas kekejaman yang telah berlaku mesti ditegakkan.
Anwar juga berharap agar gencatan senjata ini menjadi titik tolak untuk merealisasikan hasrat yang telah lama diidamkan, iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat, bebas, dan berdaya maju.
Beliau menegaskan bahawa keamanan yang adil dan berkekalan hanya dapat dicapai jika punca utama konflik ini diselesaikan secara menyeluruh.