
Program Peduli Veteran Madani bawa kesejahteraan kepada Veteran ATM untuk kehidupan lebih selesa
PERASAAN sebak dan terharu terpancar pada wajah seorang bekas veteran tentera selepas bumbung kediamannya yang berusia hampir 40 tahun dibaiki menerusi program Peduli Veteran Madani, baru-baru ini.
Menurut Koperal (B) Nordin Mohamad, 59, beliau tidak mampu membaiki bumbung yang rosak kerana tidak mempunyai pencen dan hanya berniaga kecil-kecilan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan bantuan Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berusaha memberi keselesaan buat saya sekeluarga.
“Saya bertugas dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 16 tahun dan bersara pada 2000. Kali terakhir saya bertugas adalah di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja,” katanya ketika ditemui.

Untuk rekod, sebanyak 14 rumah veteran tentera termasuk Nordin disantuni menerusi program itu yang dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di daerah Sabak Bernam.
Beliau menerima inisiatif perumahan veteran ATM (baik pulih rumah) sebanyak RM 16,992.
Bapa kepada enam anak itu berkata,”Alhamdulilah, terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang memberikan bantuan kepada kami sekeluarga. Selepas ini bolehlah kami tinggal dengan selesa,” katanya.
Pada masa sama, Nordin memaklumkan kesihatannya tidak seperti dulu apabila dua jari kaki kanannya dipotong kerana bisul.
Selain itu, mata kirinya rosak disebabkan gangguan urat saraf sehingga pernah terbabit dalam kemalangan sebanyak tiga kali. – SM