Nasional

Sumbangan Tunai Rahmah meningkat kepada RM2.3b, disalurkan mulai esok

Susulan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) minggu lalu, Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mulai 22 Januari 2025 dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, program STR dan SARA pada tahun 2025 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60% daripada penduduk dewasa.

Bagi STR dan SARA  2025, Kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600
tahun ini iaitu kenaikan hampir 25% berbanding RM3,700 tahun lalu.

Kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu, iaitu
kenaikan sebanyak 20%.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara ini mencerminkan tekad Kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat kian bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” tambah beliau.

Pembayaran STR Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai Rabu, 22 Januari 2025 kepada penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat2 mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di
Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – SM 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button