Nasional

Adaptasi norma kehidupan baharu agar kekal bersemangat – Raja Muda Perlis

SETELAH mengharungi bulan Ramadan yang berbeza, kini kita sedang melalui pula bulan Syawal di dalam susana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang amat berlainan sekali daripada tahun-tahun yang lalu tanpa rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.

Banyak aktiviti ‘rutin’ di sepanjang Ramadan terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 ini titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Kebiasaannya di Perlis sambutan Ramadan bagi baginda seisi kerabat diraja akan begitu meriah sekali dengan pengisian pelbagai program.

Gambar fail

Namun pada tahun ini, buat kali pertamanya kesemua program tersebut terpaksa dibatalkan demi menjamin keselamatan bersama dan sebagai usaha mengekang wabak ini daripada terus menular walaupun Perlis kini masih berjaya mengekalkan status di dalam kategori negeri zon hijau sejak 35 hari yang lalu. Ini tidak bermakna kita boleh melonggarkan aspek keselamatan dan pengawalan segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib tegas Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Untuk rekod, antara program yang diadakan secara tahunan oleh baginda sejak lebih sedekad sebelum ini termasuklah program melihat anak bulan Ramadan dan Syawal, solat terawih di masjid-masjid utama, program berbuka puasa Istana Arau, Kerajaan Negeri dan di masjid-masjid bersama rakyat, program penyampaian sumbangan Aidilfitri oleh pihak MAIPs, Kayuhan MAIPs Peduli menjejaki dan menyantuni asnaf, program Ramadan bersama IPT, Program singgah Bazar Ramadan, Eksesais PERBAH Kerajaan Negeri Perlis ke negeri Sabah, Program Ziarah ke wilayah Satun dan Songkhla di Thailand serta banyak lagi program yang merupakan aktiviti yang ‘wajib’ ada setiap kali menjelangnya Ramadan.

Tambah Baginda lagi, Majlis Istana Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri juga terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan berlakunya perjumpaan secara beramai-ramai dan mengawal penjarakan sosial.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin turut menasihatkan rakyat agar terus mengharungi tempoh ini dengan hati yang terbuka, sentiasa positif, terus meningkatkan amal ibadah, bersama keluarga, kekal di rumah, mengelakkan pembaziran serta terus mengekalkan pepaduan di kalangan kita.

Rakyat juga diminta agar beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan ‘norma kehidupan baharu’ ini agar kekal bersemangat melalui hari-hari yang sukar ini ditambah lagi dengan suasana Aidilfitri yang jelas bebeza dengan terus memberikan fokus untuk mendapatkan output serta impak paling maksima kepada tanggungjawab masing-masing sebagai pekerja, pelajar atau apa-apa bidang yang sekalipun yang diceburi masing-masing. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button