fbpx
Nasional

Lenggong dicadang jadi Geopark Kebangsaan

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli bercadang mewujudkan Geopark Kebangsaan seluas 1,762.71 kilometer persegi di Lenggong dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana ia mempunyai pelbagai tarikan semula jadi.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jika direalisasikan, pembangunan Geopark Lenggong akan menjadi yang kedua di Perak selepas yang pertama iaitu Geopark Lembah Kinta dekat Ipoh pada 2018.

Shamsul Anuar berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama kerajaan negeri bagi tujuan itu kerana Lenggong juga merupakan tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pembangunan di sini berbeza dengan geopark yang lain kerana kita akan gabungkan pembangunan dan penjenamaan secara mampan supaya ia mendapat pengiktirafan di peringkat global.

“Apa yang menarik Lenggong mempunyai elemen dan ciri-ciri yang tersendiri seperti gua, tasik dan rekreasi,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan taklimat cadangan pembangunan Geopark Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah di sini hari ini.


Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata pembangunan kawasan itu nanti akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong sebagaimana di Sarawak dan Pulau Langkawi. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button