PAU: Orang awam, ahli UMNO bukan perwakilan tidak dibenar hadir
ORANG awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan tidak dibenarkan untuk hadir pada Persidangan Agung UMNO 2020 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra hujung minggu ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada PAU kali ini tidak ada sebarang gerai jualan dan food truck yang dibenarkan beroperasi.
Sementara itu sebanyak 42 agensi media cetak dan elektronik telah memohon untuk liputan pada perhimpunan yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac nanti.
“Berikutan SOP yang ditetapkan, tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan.
“Media boleh membuat liputan di Laman Media secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAU 2020 mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.
Persidangan secara bersemuka akan berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian di kawasan masing-masing.
Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri pada 27 Mac akan dirasmikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan ucapan dasar pada 28 Mac di Dewan Merdeka.
Dia turut dijadualkan menyempurnakan upacara menaikkan bendera UMNO Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO.
“Setelah selesai Perasmian Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO; Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan menyampaikan ucapan Dasar mereka di dewan yang ditetapkan.
“Ucapan Dasar Presiden, Ucapan Perasmian Timbalan Presiden UMNO, Ucapan Dasar Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri, akan disiarkan melalui media sosial seperti FB Live/FB Watch/UMNO Online.
“Ucapan perbahasan oleh wakil UMNO dari negeri-negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex,” katanya.
Perbahasan perwakilan berkaitan ucapan Dasar Ketua-ketua Sayap dan Ucapan Dasar Presiden yang akan menyentuh antara lain isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan juga isu-isu semasa yang lain seperti COVID-19 dan vaksin.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan telah meluluskan PAU 2020 melalui surat bertarikh 19 Mac 2021.
UMNO akan mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.
Bagi tujuan pematuhan SOP, UMNO akan menambah anggota keselamatan seperti RELA dan Skuad Sabil.
PAU 2020 adalah perhimpunan yang penting sempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun UMNO bagi meningkatkan semangat perjuangan.-SM